SEPANJANG tontonan, banyak perkara yang bermain dalam fikiran. Semuanya berlegar-legar mencari jawapan daripada setiap sesuatu yang dipaparkan menerusi jalan cerita filem seram terbaharu berjudul Talbis Iblis tersebut.
Mendengarkan namanya sahaja, pasti sudah dapat ditebak kisah bagaimana yang diangkat dalam naratif filem tersebut. Tajuknya membayangkan sesuatu yang bersifat pengabdian, kebergantungan atau bantuan iblis demi mendapatkan sesuatu.
Demikian konsep cerita Talbis Iblis yang mendapat sentuhan pengarah Kabir Bhatia dengan barisan pelakon ternama tanah air, Nasha Aziz, Azira Syafinaz, Zul Ariffin, Jay Iswazir, Amir Nafis serta Sherie Merlis.
Kisahnya mudah, tentang seorang wanita bernama Hajar lakonan Azira yang memutuskan lari dari ibu kota dan pergi berjumpa seorang bidan, Mak Ju (Nasha) untuk membuang anak luar nikah yang dikandungnya.
Kemunculan Hajar di kediaman didiami Mak Ju mencetuskan misteri pelik yang menghantui dirinya sehinggalah terbongkarnya kisah sebenar membabitkan komplot antara Mak Ju dan orang suruhannya, Nasir (Zul).
Biarpun mudah tetapi perjalanan cerita Talbis Iblis divisualkan secara rumit. Bagaikan berlapis-lapis (layer), pelbagai kejadian mistik yang menghantui Hajar sewaktu berada bersama Mak Ju membuatkan penonton banyak berfikir.
Teknik CGI
Satu hal tentang Talbis Iblis adalah penggunaan teknologi imej janaan komputer (CGI) yang banyak terutama ketika babak-babak cemas dan mendebarkan.
Penggunaan teknik tersebut mungkin membuatkan sesetengah penonton berasa sedikit ‘pening’ tentang makna tersembunyi yang cuba diselindungkan dalam sesebuah babak.
Contoh paling ketara melibatkan babak Hajar sewaktu kecil dan adik lelakinya yang ditemui mati lemas di dalam tangki air di sebuah hospital.
Apa kaitannya dengan Hajar, kematian adik dan segala misteri yang membelenggunya selama ini sehinggalah dia dewasa?
Banyak hal yang dibiarkan tanpa penjelasan dan membuatkan penonton perlu berfikir sendiri demi mencari jawapan, sekali gus untuk memahami apa yang berlaku terhadap Hajar.
Bahkan, pada penghujung cerita, ada kisah yang tergantung melibatkan Nasir dan bomoh (Sherie). Soal niat dan nasib Hajar selepas diselamatkan daripada genggaman Mak Ju juga dibiarkan ke mana haluan.
Bukan sekadar jalan cerita, paparan dalam filem tersebut diperincikan dengan cukup teliti, contohnya warna pakaian watak Mak Ju.
Perubahan warna tersebut menjadi simbol terhadap perkembangan karakter, diselang-selikan dengan paparan kejutan ‘jumpscare’ yang disediakan sepanjang jalan cerita.
Cuma tidak dinafikan, meskipun diharamkan penayangannya di Brunei, tetapi Talbis Iblis miliki ‘sesuatu’ yang harus diberi perhatian.
Visual dengan garapan yang rumit bertindan-tindan berserta permainan imaginasi tahap tinggi menjadikan naskhah terbitan bersama enam syarikat penerbitan iaitu Infinitus Gold, Astro Shaw, Jazzy Pictures, A Next Star Productions, MM2 Entertainment dan Chain FX tersebut, sarat nilai kreatif.
Bijak bermain dengan emosi, gambaran insiden yang divisualkan samar-samar, selain teknik pergerakan kamera seperti filem luar negara menjadikan naskhah berkenaan cukup menarik untuk ditonton.
Satu hal lagi, Talbis Iblis bukan tentang cerita hantu atau momok Melayu klise tetapi lebih tepatnya penggunaan ilmu hitam yang secara realitinya masih berleluasa.
Jika inginkan pengalaman dan mahu menjadi detektif, jangan lupa alaminya sendiri di pawagam dan carilah jawapan terhadap segala misteri yang dipaparkan.