TREND terkini menunjukkan masyarakat di sekitar Lembah Klang terutama golongan muda gemar menghabiskan masa terluang di kopitiam.
Golongan tersebut suka menghabiskan masa dengan berbual bersama rakan-rakan atau ahli keluarga sambil menghirup secawan kopi panas.
Fenomena tersebut telah mendorong pembukaan banyak kopitiam di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur, sama ada yang menawarkan kopi premium atau tempatan.
Tidak mahu ketinggalan dengan trend tersebut, sekumpulan anak muda sepakat untuk membuka sebuah kedai kopi dikenali sebagai G.Foti Kopitiam (G.Foti) di Kompleks Permaisuri Q, Kuala Lumpur.
Salah seorang pengasas G.Foti, Mohd. Ridzuan Ahmad berkata, kopitiam tersebut menawarkan suasana kedai kopi ala kampung terutamanya dari aspek perabot yang digunakan serta susun atur
perhiasan.
“Kedai ini dibuka sejak awal Mac tahun ini dengan berkonsepkan kopitiam santai. Apabila pengunjung datang ke sini mereka dapat rasakan seperti berada di sebuah kedai kopi kampung.
“Kopitiam ini dibuka hasil kerjasama saya dan beberapa rakan iaitu Shaiful Kamal Ismayati, Nurazmin Mohd. Zamry, Rosli Salleh dan Mohd. Afiq Roslan,” katanya kepada K2 baru-baru ini.
Bersesuaian dengan konsepnya, G.Foti menawarkan aneka minuman kopi sama ada tempatan atau premium. Antara kopi tempatan yang ditawarkan termasuk kopi Tokli, kopi Nek Wan, kopi Tok Sidang dan kopi Tok Ayah.
Menurut Mohd. Ridzuan, pihaknya sedar kebanyakan masyarakat di kota merindui minuman kopi kampung sekali gus mengimbau kenangan mereka sewaktu berada di desa.
“Pelanggan tidak perlu lagi pulang ke desa untuk menikmati minuman kopi kampung. Mereka boleh datang ke G.Foti untuk merasai kopi dan suasana berkenaan.
“Selain kopi kampung, kami ada menawarkan minuman kopi premium seperti Americano, hazelnut latte, caramel latte, mocha, vanilla latte dan caramel macchiato,” jelasnya yang turut dikenali sebagai Capo Lekir.
Mengulas mengenai menu, dia memaklumkan, kopitiam tersebut menawarkan lebih 50 sajian tempatan dan Barat yang disediakan oleh dua cef hebat serta berpengalaman luas.
Katanya, salah satu menu yang mendapat tempat di hati pelanggan adalah bulgogi G.Foti iaitu sajian daging bakar berempah bersama sos istimewa.
Tambahnya, sajian popular lain di kopitiam itu ialah pasta pomodoro, ayam G.Foti, nasi goreng gurindam, nasi lemak tok dan kuetiau goreng.
“Kami turut menawarkan tiga set asam pedas Melaka iaitu nasi bersama ikan jenahak, daging tetel dan ikan pari. Bagi kudapan, pelanggan boleh mencuba cucur udang, lempeng warisan, popiah satar dan keropok keping ikan,” jelasnya.
Kopitiam yang mampu memuatkan 120 orang pada satu-satu masa itu juga sering menjadi tumpuan ahli Ultras Malaya berkumpul bagi menyaksikan perlawanan pasukan kebangsaan.
Ujar Ridzuan, kopitiam tersebut turut dikenali sebagai tempat berkumpul ahli Ultras Malaya kerana pihaknya akan meletakkan skrin besar di depan kedai sewaktu perlawanan membabitkan Harimau Malaya di luar negara.
Layari Facebook G.Foti Kopitiam untuk mendapatkan makluman-makluman berkaitan kopitiam ini.