PENGENDALI Kuala Lumpur City (KL City), Bojan Hodak enggan memikirkan tentang status masa depannya kerana fokus membantu pasukan bangkit melakar keputusan positif pada Piala Malaysia menentang PDRM FC malam ini.
Difahamkan, kontrak Bojan bersama skuad Warga Kota akan berakhir pada penghujung musim ini dengan khidmatnya dilaporkan menjadi buruan kelab bola sepak dalam dan luar negara.
‘Saham’ pengendali import dari Croatia itu semakin melonjak selepas membantu KL City mencipta sejarah mara ke final Piala AFC buat kali pertama sebelum tewas 0-3 kepada Al Seeb di Stadium Nasional Bukit Jalil minggu lalu.
Bojan berkata, persoalan mengenai masa depannya perlu diajukan kepada pihak pengurusan kerana fokus utama ketika ini adalah menaikkan semula motivasi pasukan yang agak kecewa dengan kekalahan lepas.
“Masa depan saya perlu ditanya kepada pengurusan atau mungkin bergantung pada pilihan raya nanti. Fokus utama saya sekarang adalah untuk memastikan pemain bersedia untuk harungi perlawanan bertemu PDRM nanti.
“Ini kerana saya mahu pemain mendapatkan semula aura serta magis yang telah hilang ketika ini,” katanya.
Hodak yang telah bersama KL City sejak tahun lalu berjaya membantu pasukan menamatkan kemarau 32 tahun dengan menjulang trofi Piala Malaysia selepas menewaskan Johor Darul Ta’zim (JDT) di pentas final.