ALOR SETAR – Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) telah memperuntukkan sebanyak RM2 juta untuk melahirkan graduan yang memiliki sijil serta diploma dalam bidang Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), tahun ini.
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, seramai 493 graduan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dan Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) berjaya dilahirkan tahun ini.
Katanya, kesemua graduan tersebut adalah pelatih dari Akademi Kemahiran Kemas Seri Iskandar dan Gopeng, Perak serta Penyelia Kemahiran Kemas.
“Program sijil dan diploma dalam bidang TVET itu diiktiraf Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) di bawah Kementerian Sumber Manusia,” katanya ketika berucap merasmikan Istiadat Konvokesyen Kemahiran Malaysia Ke-13 Kemas di sini hari ini.
Kata Mahdzir, kerajaan sangat yakin TVET kini mendapat permintaan yang tinggi daripada pemain industri di negara ini.
“Kita perlu merebut peluang ini dengan melahirkan seberapa ramai modal insan yang berkemahiran TVET untuk menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi mapan dan negara berpendapatan tinggi,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE.