DORTMUND – Pengurus Manchester City, Pep Guardiola mengakui resah dengan status kecederaan penyerang
utama, Erling Haaland selepas dikeluarkan pada separuh masa pertama ketika seri 0-0 bertemu Borussia Dortmund awal pagi
semalam.
Pada perlawanan di Signal Iduna Park itu, Haaland dilihat menerima terjahan keras oleh pertahanan pasukan tuan rumah sehingga terpaksa digantikan dengan Bernardo Silva.
Kata Guardiola, kemungkinan besar khidmat penyerang antarabangsa Norway itu untuk terlepas aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Leicester City minggu ini cukup tinggi.
“Saya tidak boleh meramalkan, tetapi mungkin dia tidak sempat untuk cergas pada perlawanan bertemu Leicester. Kita dapat lihat dia agak kepenatan selain beberapa kali diterjah keras oleh pertahanan lawan.
“Harapan saya apabila menerima laporan perubatan nanti, kecederaan yang dialami tidak terlalu serius,” kata pengendali kelahiran Sepanyol itu.
Sementara itu, Guardiola enggan menyalahkan pemain sayap, Riyad Mahrez yang gagal menyudahkan sepakan penalti untuk membantu pasukan melakar kemenangan ke atas kelab Jerman itu.
“Saya tidak mahu menyalahkan siapa pun kerana bukan mudah untuk mengambil sepakan penalti. Mahrez memiliki mentaliti juara dan berani memikul tanggungjawab, tetapi tidak bernasib baik kali ini,” katanya.
Sebagai rekod, ini adalah sepakan penalti kedua berturut-turut yang gagal disempurnakan Mahrez selepas turut gagal berbuat demikian ketika seri 0-0 bertemu Copenhagen awal bulan ini.
–AGENSI