JAKARTA – Menteri Kesihatan Indonesia, Budi Gunadi Sadikin memberi amaran bahawa lonjakan kes Covid-19 dijangka berlaku pada Februari tahun depan susulan pengesanan sub varian Omicron, XBB di republik itu, lapor stesen penyiaran CNN Indonesia semalam.
Menurut beliau, risiko lonjakan kes perlu diawasi kerana varian Omicron XBB adalah penyebab utama peningkatan semula kes di beberapa negara termasuk Singapura.
“Setakat ini, kementerian menjangkakan kemuncak jangkitan XBB adalah pada Februari 2023.
“Itu antara sebab utama pemerintah akan menawarkan suntikan dos penggalak kedua pada Disember ini dan Januari tahun depan terutamanya kepada golongan rentan,” ujar Budi.
Pada masa ini, kes melibatkan varian XBB telah dikenal pasti di Surabaya dalam wilayah Jawa Timur.
Seorang pesakit dikenal pasti September lalu selepas melakukan perjalanan dari Lombok, wilayah Nusa Tenggara Barat.
Perkembangan jumlah kes virus korona di Indonesia mengalami trend meningkat sejak seminggu lalu dengan lonjakan 27.1 peratus berbanding minggu sebelumnya.
Kes harian yang direkodkan adalah sebanyak 3,008 kelmarin, jumlah kes tambahan tertinggi sejak 13 September lalu.
“Lonjakan kes semasa berkemungkinan besar bukan disebabkan varian XBB kerana ia baru sahaja dikesan di Indonesia,” kata Budi. – Agensi