BERA – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, peneroka Felda wajar menikmati semula insentif atau duit raya menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri yang dihentikan sejak 2019.
Sehubungan itu beliau meminta pengurusan Felda melihat balik insentif ini yang dapat membantu menggembirakan dan meringankan beban warga peneroka.
Katanya, layanan kepada warga peneroka Felda cukup istimewa sehingga mereka dianggap sebagai anak emas kerajaan.
“Apa saya jadi wakil rakyat di Bera ini, perkara yang susah saya hendak jawap kenapa warga Felda diberikan keistimewaan berbanding orang lain.
“Setiap kali raya, orang lain tiada duit raya, peneroka ada duit raya, itu dululah, sekarang ia dihentikan seketika. Jadi sekarang kena fikirkan semula duit raya kepada peneroka Felda,” katanya ketika berucap pada Majlis Himpunan Keluarga Felda Teguh Bersama di Felda Mayam di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, ekoran keistimewaan diterima, orang luar menganggap peneroka Felda sebagai anak emas kerajaan.
“Itu persepsi orang luar kepada peneroka, pelbagai insentif dapat sejak dari dulu, walaupun beberapa ketika Felda menghadapi masalah dalaman, tetapi warga peneroka tidak dilupakan.
“Warga Felda terus dijaga oleh kerajaan dan ditatang sebagai anak emas oleh kerajaan.. Itulah persepsinya kerana layanan dan insentif yang banyak diberikan kepada warga Felda,” katanya. – KOSMO! ONLINE.