KEMAMAN – Dua pelajar Kolej Universiti TATI (TATIUC ) maut manakala seorang lagi cedera selepas kereta Perodua Kancil dinaiki mereka dirempuh kenderaan pacuan empat roda, Toyota Hilux di Kilometer 145 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan berhampiran Teluk Kalong di sini hari ini.
Dalam kejadian pukul 1.37 tengah hari, mangsa, Muhammad Ilman Waiz Ahmad Wazi, 18, meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala rakannya, Muhammad Amirul Adli Mohd Anuar, 18, pula sewaktu menerima rawatan di Hospital Kemaman di sini.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, sewaktu kejadian, dua pelajar TATIUC bersama seorang lagi rakan sekuliah mereka,
Muhamad Muttaqin Zainal, 18, dalam perjalanan ke bandar Chukai di sini.
“Sewaktu tiba di lokasi kejadian, kereta Perodua Kancil yang dipandu Muhamad Muttaqi dikatakan tiba-tiba memasuki persimpangan terbabit.
“Sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dipandu lelaki berusia 28 tahun sedang dalam perjalanan ke Paka, Dungun gagal mengelak lalu merempuh kereta dinaiki pelajar berkenaan,” katanya di sini hari ini.
Hanyan berkata, impak rempuhan itu menyebabkan kereta Perodya Kancil terbabit terseret kira-kira 21 meter.
Menurut beliau, mangsa, Muhammad Ilman Waiz yang duduk di bahagian penumpang hadapan meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Seorang lagi mangsa, Muhammad Amirul Adli yang duduk di bahagian penumpang belakang pula meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital pada pukul pukul 3 petang.
“Muhammad Muttaqin masih dirawat di unit kecemasan hospital sama,” katanya. – KOSMO! ONLINE