PETALING JAYA – Terpalit tuduhan mengabaikan nafkah anak-anak sejak 10 tahun lalu, penyanyi Cliff Umar selesa dengan pendekatan berdiam bagi mengelak daripada membuka aib mana-mana pihak.
Clift yang juga juara program Gegar Vaganza musim ketujuh itu berkata, dia enggan mengeluarkan sebarang komen berhubung dakwaan bekas isteri yang menuduhnya mengabaikan pemberian nafkah kepada tiga orang anaknya
Pemilik nama sebenar Umar Joseph Abdullah itu juga tidak menyalahkan mana-mana pihak berhubung perkara berenaan.
“Sebelum keluarkan kenyataan tentang hal peribadi, saya akan letakkan diri dalam situasi pihak di sebelah sana.
“Tidakkah kenyataan balas saya hanya akan membuka aibnya? Perlu atau tidak saya melakukan perkara itu?
“Sebagai ibu, mesti dia mahu kejar sesuatu untuk anak-anaknya. Perkara itu tidak salah.
“Saya juga ada silap, itu sahaja,” kata ringkas kepada Kosmo! Online.
Enggan memanjangkan isu, Cliff meminta semua pihak berhenti memperkatakan hal peribadi, sebaliknya lebih fokus terhadap kerjaya seninya.
“Saya sudah sampai tahap bosan apabila cerita peribadi terus diperkatakan. Bila saya keluarkan lagu, tidak ada pula yang bertanya,” luahnya selepas sidang media Konsert Kolaboraci Three To Rock, semalam.
Terdahulu tular video seorang wanita mendakwa dirinya sebagai bekas isteri penyanyi yang menyatakan perlu membuat pendedahan mengenai situasi anak-anaknya.
Dalam video TikTok tersebut, wanita bernama Zurini Hasbullah merayu kepada Cliff agar melunaskan tanggungjawab, terutama soal saraan hidup tiga anak hasil perkahwinan mereka. Difahamkan mereka bercerai pada tahun 2016.
Bercakap tentang konsert Kolaboraci Three To Rock di SMESCO Convention Hall, Jakarta, Indonesia pada 25 November depan, juara Gegar Vaganza (GV) musim ketujuh itu menganggap penglibatannya dalam konsert berkenaan sebagai antara usahanya mencari rezeki.
“Saya cuba dan merebut peluang seperti dalam konsert yang turut membariskan ramai pemuzik berpengalaman termasuk Man Kidal.
“Jika ada ruang dan memang ada peluang, saya akan masuk. Tak senang main muzik di sini, rasanya semua orang tahu,” katanya yang sudah lebih 20 tahun berdepan jatuh bangun sebagai pemuzik. – KOSMO! ONLINE