AMSTERDAM – Kementerian Luar Belanda menjalankan siasatan berhubung laporan kewujudan dua balai polis haram oleh China di negara itu, bertujuan untuk membanteras penentang politik Beijing, lapor laman berita Wion News semalam.
Media Belanda melaporkan, balai polis China di Amsterdam dan Rotterdam itu ditubuhkan untuk menawarkan bantuan diplomatik tetapi tidak diisytiharkan kepada kerajaan Belanda.
“Balai polis ini digunakan untuk menutup mulut penentang politik China,” kata stesen penyiar RTL dan laman web penyiasatan Follow The Money yang memetik keterangan seorang penentang China di Belanda.
Kementerian Luar China berkata, laporan itu palsu dan menambah bahawa ‘stesen perkhidmatan’ itu ditubuhkan bertujuan untuk membantu rakyatnya di luar negara dalam beberapa perkara seperti memperbaharui lesen memandu.
Belanda bagaimanapun mengambil serius dakwaan tersebut.
“Kementerian luar sedang menyiasat aktiviti yang dipanggil balai polis ini. Apabila kami mendapat maklumat secara lebih jelas mengenai perkara ini, tindakan sewajarnya akan diambil.
“Memang benar bahawa kami tidak dimaklumkan mengenai balai ini melalui saluran diplomatik,” kata jurucakap kementerian luar Belanda, Maxime Hovenkamp kepada agensi berita AFP. – Agensi