SALZBURG – Pengurus Chelsea, Graham Potter mengakui sangat teruja menyaksikan gol kemenangan pasukannya yang dilakukan oleh Kai Havertz untuk membantu The Blues melakar kemenangan 2-1 ke atas Red Bull Salzburg pada aksi Liga Juara-Juara awal pagi semalam.
Pada aksi tersebut, skuad The Blues mengesahkan kemaraan ke pusingan 16 terbaik hasil jaringan yang dilakukan oleh Mateo Kovacic dan Havertz, manakala pasukan tuan rumah meledak gol saguhati menerusi Junior Adamu.
Kata Potter, Havertz yang juga pemain antarabangsa Jerman boleh menjadi sandaran utama pasukan dalam usaha memburu gol pada kempen musim ini sekiranya tampil lebih konsisten di jentera serangan.
“Gol yang dilakukan oleh Havertz cukup luar biasa dan saya sangat berbangga dengan komitmen penuh yang dipamerkan di atas padang. Dia adalah pemain sangat berbakat dan kini saya harap dia dapat kekalkan momentum cemerlang dalam setiap perlawanan untuk membantu pasukan ini menjadi lebih konsisten.
“Secara keseluruhan, saya puas hati dengan prestasi yang dipamerkan oleh semua pemain kerana berjaya mengesahkan kemaraan pasukan ke pusingan seterusnya ketika saingan kumpulan masih berbaki satu perlawanan,” katanya.
Sementara itu, bekas pengendali Brighton itu turut gembira dengan aksi komited dipamerkan oleh Raheem Sterling dan Christian Pulisic meskipun kedua-dua mereka diarahkan beraksi di posisi sayap-bertahan pada saingan kali ini berbanding sebagai pemain sayap yang menjadi kegemaran mereka.
“Taktikal yang saya terapkan adalah mudah yang mana kami mahu mengekang asakan Salzburg selain berusaha untuk melakukan serangan balas pantas menerusi penguasaan bola dan kedua-dua pemain ini menjalankan tugas dengan baik untuk membantu kemenangan pada perlawanan kali ini,” katanya. – AGENSI