fbpx

Aplikasi Dr. Mommy Baby bantu ibu bapa moden

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ramzul (kiri) ketika di majlis perasmian aplikasi Dr. Mommy Baby di sini hari ini.

KUALA LUMPUR – Platform sehenti penjagaan kesihatan untuk ibu bapa dan anak-anak, Dr. Mommy Baby memperkenalkan aplikasi mudah alih yang memudahkan pengguna untuk mencapai maklumat perkhidmatan kesihatan.

Ketua Pegawai Eksekutif, Dr. Ramzul Adli merangkap pemilik jenama tersebut berkata, aplikasi itu juga diwujudkan bagi menyediakan kemudahan kepada ibu bapa dalam menyimpan rekod-rekod kesihatan serta perkembangan anak-anak mereka.

Katanya, aplikasi itu juga menyediakan informasi-informasi berguna berkaitan kekeluargaan termasuk maklumat mengenai kesuburan, penjagaan selepas bersalin serta kesihatan anak-anak yang amat sesuai untuk ibu bapa moden.

“Dr. Mommy Baby ialah platform yang akan memudahkan ibu bapa untuk sentiasa mengemas kini maklumat yang berkaitan dengan kesihatan dan kesejahteraan keluarga mereka.

“Platform ini mempunyai pelbagai fungsi yang berguna untuk ibu bapa. Sebagai contoh, ibu bapa boleh menggunakan platform untuk mencari klinik atau kemudahan perubatan terdekat dan menempah dan beratur dari rumah,” katanya ketika majlis pelancaran aplikasi itu di sini hari ini.

Beliau berkata, sehingga kini aplikasi itu sudah mendapat kerjasama dengan lebih kurang 20 fasiliti kesihatan swasta dalam memudahkan ibu bapa membuat tempahan bagi mendapatkan rawatan.

“Pihak kami juga ada mengemukakan idea aplikasi ini kepada pihak Kementerian Kesihatan (KKM) dan diharapkan agar aplikasi ini juga dapat bekerjasama dengan agensi KKM supaya dapat memudahkan urusan ibu bapa di klinik kesihatan ibu dan anak khususnya.

“Dr. Mommy Baby menyasarkan sekurang-kurangnya 5,000 pengguna dapat memanfaatkan aplikasi ini dalam tempoh enam bulan akan datang ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ramzul mengumumkan aplikasi itu juga melantik Pegawai perubatan serta pempengaruh media sosial, Dr. Malar Santhi Santherasegapan sebagai duta jenama tersebut.

“Beliau akan menerajui kempen ini bersama 16 pempengaruh lain yang menjiwai semangat menjadi seorang ibu. Mereka akan berkongsi petua dan maklumat bermanfaat kepada ibu bapa dan anak-anak dari segi fizikal, mental dan emosi.

“Kami berasa bangga dapat bekerjasama Dr. Malar. Beliau adalah seorang doktor perubatan bertauliah yang terkenal dengan kepakarannya. Kami percaya beliau boleh membantu kami mendekati ibu bapa dan mendidik mereka tentang kepentingan mendapatkan maklumat yang betul mengenai kesihatan,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI