MINGGU ini dan minggu depan pastinya agak sibuk bagi semua parti apabila perlu melengkapkan tugasan akhir memilih, menyusun dan menetapkan calon pilihan raya masing-masing menjelang hari penamaan 5 November ini.
Kepada yang pasti bertanding sudah mula rajin keluar ke sana sini menyantuni semua orang tidak kira tua muda, kecil besar. Senyuman tidak lekang di bibir, tangan ringan bersalaman. Masuk warung, kopi dan teh semua orang dibayar. Almaklum bakal YB mestilah ada ciri-ciri pemurah!
Kepada yang belum pasti bertanding, tidur malam pun tidak lena, makan tidak lalu, mandi tidak basah. Asyik terbayang-bayang wajahnya bakal terpampang pada poster dan kain rentang yang memenuhi segenap kampung, taman dan pekan.
Kepada yang sah tersingkir, ada yang mula perlahan-lahan undurkan diri. Seolah-olah bila tidak berjawatan, maka hilanglah segala penghormatan, maruah dan harga diri. Seakan dunia menjadi kelam tanpa gelaran YB.
Sepatutnya mereka sedar bila kita di atas jangan lupa kepada orang menyokong di bawah.
Kena ingat bahawa pangkat, gelaran dan harta kekayaan tidak kekal selama-lamanya. Semua itu cuma dipinjamkan sahaja. Cukup masa pulangkanlah semula dengan baik. Jangan ingat jawatan YB nak dibawa sampai ke kubur.
Sebab itu, calon-calon yang bertanding perlu sedar bahawa mereka ini menawarkan diri untuk menjadi ‘wakil’ kepada rakyat. Mahu bekerja untuk rakyat dan sentiasa bersama rakyat ketika senang dan susah. Bukannya bila menang ‘wakil’ hilang entah ke mana.
Dalam mengejar kemenangan pula, janganlah jadi calon seperti ayam bertelur sebiji riuh sekampung. Diberinya RM30 kemudian dicanangnya rakyat sudah mula hidup senang dengan bantuan tersebut.
Jangan juga jadi calon seperti ayam jantan berkokok megah, kononnya akulah yang terbaik, suci dan bersih tetapi lupa ekor sendiri penuh tahi. Dia lupa rakyat nampak dan tahu.
Begitu juga jangan jadi ayam yang terkedek-kedek tunjuk baik dengan itik untuk dapat sokongan agar terpilih sebagai wakil rakyat, selepas itu jumpa pula angsa kononnya kita bangsa unggas yang perlu bersatu dan bekerjasama untuk mencapai kemenangan.
Apa jenis ayam pun yang diperkatakan, suatu yang pasti harga ayam di pasar hari ini kembali meningkat. Peniaga-peniaga berhadapan dilema mahu mematuhi undang-undang kawalan harga ayam atau berdepan kerugian.
Hal ini kerana berlaku mereka mendapat bekalan ayam pada harga tinggi. Bukan sekadar itu, telur juga kehabisan di kedai. Hari ini, ayam dan telur sudah menjadi makanan asas kepada rakyat kita. Nak beralih makan ikan pun sama juga masalah apabila ikan kembung kini sudah masuk kategori makanan orang ‘kayangan’.
Orang berpolitik boleh sahaja gebang sana sini. Tabur manis janji bulan bintang. Orang kampung mendengar pun boleh ternganga dibuatnya.
Tetapi mereka lupa balik rumah perut lapar nak diisi. Anak-anak perlukan wang untuk berbelanja ke sekolah.
Semoga pilihan raya kali ini tidak sekadar memilih calon parti ayam, itik dan telur tetapi wakil rakyat yang mampu memenuhi keperluan masa depan dan cabaran ekonomi yang lebih baik.