KHARTOUM, SUDAN – Sekurang-kurangya 230 orang terbunuh dan lebih 200 lagi cedera membabitkan pertikaian pemilikan tanah di negeri Nil Biru, kata pihak berkuasa Sudan seperti laporan laman berita Wion News semalam.
Negeri Nil Biru yang bersempadan dengan Ethiopia dan Sudan Selatan, menyaksikan peningkatan keganasan bermula awal tahun ini.
Menteri Kesihatan Sudan, Gamal Nasser al-Sayed dalam satu temu bual berkata, lebih 30,000 orang dari lapan perkampungan melarikan diri selepas rumah mereka dibakar dan diserang.
Menurut laporan, ketegangan antara etnik Hausa yang berasal dari Afrika Barat dan kumpulan etnik di sepanjang sempadan Sudan dikenali sebagai Berta, meningkat pada minggu lepas di bandar Wad el-Mahi.
Sekurang-kurangnya 149 orang terbunuh awal bulan ini sejak ketegangan antara dua etnik itu tercetus pertengahan Julai lalu.
Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Nil Biru, Fath Arrahman Bakheit berkata, setakat Sabtu lepas, sekurang-kurangya 220 kematian dicatatkan dan angka sebenar mungkin lebih tinggi.
Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Bank Dunia pula, aktiviti pertanian dan menternak haiwan membentuk 30 peratus keluaran dalam negara kasar (KDNK) Sudan serta menawarkan lebih 40 peratus pekerjaan di negara itu.
Faktor tersebut menjadikan akses kepada tanah amat penting.
Pertikaian tanah antara negeri Nil Biru dan Kordofan Selatan telah berlarutan selama lebih sedekad dan gagal diselesaikan oleh kerajaan pusat. – Agensi