BARCELONA – Jurulatih Barcelona, Xavi Hernandez berharap pemain sayap, Ousmane Dembele terus menampilkan aksi cemerlang menjelang saingan Kumpulan C Liga Juara-Juara menentang Bayern Munich di Camp Nou awal pagi esok.
The Catalans boleh dianggap berada di hujung tanduk ketika ini apabila menghuni tangga ketiga kumpulan dengan empat mata, sekali gus berisiko tersingkir daripada saingan jika tewas kepada Bayern.
Bagaimanapun, Barcelona mendapat suntikan semangat selepas membelasah Athletic Bilbao 4-0 selain aksi menakjubkan ditampilkan Dembele memberi harapan untuk mereka meneruskan perjuangan dalam Liga Juara-Juara.
“Bola sepak adalah sukan yang memerlukan kebijaksanaan serta pantas membuat keputusan dan saya dapat melihatnya menerusi aksi Ousmane (Dembele). Dia tahu bagaimana untuk membantu pasukan.
“Dia adalah pemain sayap yang cukup baik walaupun prestasinya kadangkala kurang konsisten, jadi saya mahu dia kekalkan aksi seperti ini menjelang perlawanan penting itu (menentang Bayern),” kata Xavi.
Bekas pemain Sepanyol itu turut menyatakan kemampuan luar biasa dimiliki Dembele merupakan antara faktor beliau mendesak kelab supaya menawarkan kontrak baharu kepada pemain antarabangsa Perancis tersebut untuk terus kekal di Camp Nou.
Barcelona dijangka turun dengan tekanan cukup tinggi bagi mendapatkan kemenangan memandangkan mereka dibezakan tiga mata dengan pasukan tangga kedua, Inter Milan yang mengumpul tujuh mata selepas empat perlawanan. – AGENSI