fbpx

TFC impikan musim gemilang sasar ke final Piala Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SKUAD TFC diyakini mampu meneruskan momentum yang dipamerkan pada sepanjang kempen Liga M sehingga muncul naib juara Liga Super musim ini.

TERENGGANU FC (TFC) enggan menjadikan kempen Piala Malaysia yang membuka tirai malam ini sekadar kejohanan pelengkap, sebaliknya skuad Sang Penyu tetap menyasarkan ke final kejohanan bola terprestij negara meskipun sudah menempah slot automatik ke Piala AFC musim depan.

Pengendali TFC, Mohd. Nafuzi Zain berkata, sasaran itu jika berjaya dicapai bakal merealisasikan musim gemilang skuad Sang Penyu setelah berjaya meraih naib juara Liga Super dan Piala FA.

“Kami berada di landasan tepat untuk mengulangi kegemilangan musim 2011 apabila muncul juara Piala FA dan naib juara Liga Super serta Piala Malaysia.

“Laluan mungkin berliku tetapi impian menjadikan musim ini paling gemilang buat TFC dalam tempoh 11 tahun tidak mustahil dan kita tinggal satu kejohanan sahaja untuk merealisasikannya,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Kuala Terengganu semalam.

Mohd. Nafuzi berkata, beliau tidak pernah meragui kemam­puan anak-anak buahnya untuk meneruskan momentum yang telah dipamerkan sepanjang saingan Liga Malaysia (Liga M) setakat ini.

Tambah beliau, berdasarkan dua kejohanan domestik iaitu Liga Super dan Piala Malaysia yang telah selesai, TFC membuktikan sebagai pasukan kedua terbaik negara selepas Johor Darul Ta’zim (JDT).

“Begitupun, kami tidak pernah memandang enteng cabaran Sri Pahang yang menjadi halangan pertama dalam aksi pusingan 16 di Stadium Darulmakmur, Kuantan pada Khamis ini (esok).

“Skuad Tok Gajah yang kembali diperkuat dua pemain naturalisasi, Lee Tuck dan Sergio Aguero bukan lagi lawan sama yang kami hadapi ketika saingan Liga Super,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI