KANGAR – Sepasang suami isteri dari Kampung Bintong di sini tidak menyangka akan menimang cahaya mata baharu selepas tiada langsung tanda-tanda kehamilan pada suri rumah itu sejak sembilan bulan lalu.
Menurut Nurul Atiqah Mustafa, 24, yang berasal dari Pokok Sena, Kedah, dia terkejut apabila melahirkan bayi perempuan seberat 3.7 kilogram (kg) pada 19 Oktober lalu.
Katanya, kelahiran anak kedua yang diberi nama Raiqa Hanania itu disambut sendiri oleh suaminya, Amirul Azizan, 26, di rumah mereka kira-kira pukul 8.45 pagi.
“Saya sama sekali tidak menyangka akan melahirkan bayi perempuan selepas kitaran haid berlaku seperti biasa selain mengamalkan pil perancang sejak lebih setahun lalu.
“Tiada langsung sebarang petanda kehamilan seperti alahan, selain badan mengembang serta beberapa perubahan fizikal lain seperti semasa mengandungkan anak sulung, Muhamad Fayyad Harras Amirul yang berusia setahun dua bulan,” katanya ketika di rumahnya di sini hari ini.
Menceritakan semula kelahiran bayi perempuannya itu, Nurul Atiqah berkata, dia tiba-tiba rasa sakit seperti sembelit ketika berada di ruang tamu rumah.
“Saya terus jerit panggil suami dan dalam masa kira-kira 20 minit, saya selamat melahirkan seorang bayi perempuan,” ujarnya.
Sementara itu, Amirul yang merupakan seorang pemandu lori pasir berkata, dia terkejut selepas mendapati isterinya ingin bersalin kerana tidak tahu langsung isterinya mengandung.
“Pasa waktu itu saya telah nampak rambut bayi dan proses kelahiran berlaku dengan cepat dan sangat mudah, tidak sampai setengah jam.
“Saya terus memangku dan menepuk bayi dan menyaksikan sendiri perubahan warna daripada pucat kepada kemerah-merahan sebaik sahaja bayi menangis,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE