fbpx

Siasat ladang ayam, elak telur tercemar bakteria Salmonella

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Rakyat di negara ini terus terkesan dengan masalah kekurangan bekalan telur sejak akhir ini. GAMBAR HIASAN

GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa pihak berkuasa menyiasat semua ladang ternakan ayam bagi memastikan mematuhi peraturan keselamatan makanan susulan pergantungan telur keluaran negara ini oleh pihak berkuasa Singapura, baru-baru ini.

Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader berkata, pihak berkuasa juga perlu menubuhkan satu jawatankuasa khas untuk menyiasat kelemahan sistem pemantauan berkaitan dengan keselamatan makanan.

Menurutnya, laporan berulang mengenai produk makanan Malaysia yang tidak selamat oleh pihak berkuasa luar negara jelas menunjukkan bahawa pemantauan keselamatan makanan negara tidak mencukupi.

“Laporan mengenai telur dari ladang berkenaan yang digantung oleh pihak berkuasa Singapura baru-baru ini menunjukkan bahawa rakyat Malaysia dinilai sebagai pengguna kelas kedua apabila melibatkan keselamatan makanan.

“Telur tersebut ditolak kerana didapati tercemar dengan bakteria Salmonella Enteritidis dan amat pelik apabila kejadian ini tidak diketahui oleh pihak berkuasa tempatan kita lebih awal walaupun dianggarkan rakyat Malaysia mengambil 30 juta telur setiap hari,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya lagi, memandangkan keadaan itu ramai pengguna Malaysia mungkin secara tidak sedar telah mengambil telur yang tercemar.

“Bakteria Salmonella Enteritidis menyebabkan cirit-birit, sakit perut, demam, loya dan muntah dan ini bukanlah kali pertama produk Malaysia ditolak di negara luar.

“Antara laporan kejadian yang telah dilaporkan adalah pada 2020, pihak berkuasa Singapura menarik balik kundur dari Malaysia memandangkan didapati mengandungi sulfur dioksida yang melebihi had maksimum yang dinyatakan dalam Peraturan Makanan Singapura (SFR).

“Selain itu, pada 2021, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) telah mengambil tindakan susulan dengan melawat dan menjalankan siasatan ke atas ladang ‘CES 008’ Lay Hong Bhd di Jeram, Selangor, bagi mengenal pasti punca pencemaran Salmonella enteritidis (SE), yang membawa kepada penarikan semula telur syarikat itu di Singapura,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, undang-undang utama yang mengawal selia keselamatan makanan di negara ini adalah Akta Makanan 1983, Peraturan-Peraturan Makanan 1985 dan Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI