PASUKAN Selangor FC tidak mahu mendabik dada dengan status sebagai pilihan utama menjelang aksi pertama pusingan 16 terbaik Piala Malaysia menentang Kelantan United di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Bharu malam ini.
Ketua jurulatih skuad Gergasi Merah, Tan Cheng Hoe mengakui perancangan untuk membariskan kesebelasan terbaik sedikit terjejas ekoran tidak dapat menggunakan dua pemain utama, Sharul Nazeem Zulpakar dan Alex Agyarkwa.
“Seperti yang kita tahu, Sharul dilayangkan kad merah pada perlawanan terakhir Liga Super bertemu Penang FC, sekali gus menyaksikan dia digantung perlawanan, manakala Agyarkwa pula disisihkan ekoran kecederaan.
“Situasi ini sedikit sebanyak menjejaskan perancangan pasukan khususnya ketiadaan Sharul yang membentuk kombinasi baik di posisi pertahanan bersama Yazan Al Arab sejak beberapa perlawanan lepas.
“Namun, saya pasti siapa sahaja yang diturunkan bersedia untuk menggalas tanggungjawab dengan motivasi pasukan sepanjang sesi latihan minggu lalu cukup positif,” kata bekas pengendali Harimau Malaya itu.
Mengulas lanjut, Cheng Hoe mahu pasukan berwaspada dengan ancaman yang boleh diberikan oleh skuad The Green Deers kendalian Syamsul Saad kerana mereka memiliki kualiti menerusi aspek serangan.
Kata Cheng Hoe, tiga pemain pasukan tuan rumah, Masashi Motoyama, Jacob Njoku dan Nik Akif Syahiran perlu ‘dirantai’ sekiranya mahu membawa bekalan selesa ke Petaling Jaya pada pusingan kedua nanti.
“Kelantan United adalah pasukan yang bagus walaupun beraksi pada Liga Premier. Kita dapat lihat mereka memiliki corak permainan agresif selain bergantung dengan dua pemain import utama dari Nigeria (Njoku) dan Jepun (Motoyama).
“Selain itu, mereka juga memiliki Nik Akif yang mempunyai kualiti tersendiri dalam melakukan hantaran selain mencipta ruang buat jentera serangan,” katanya.