KUALA NERANG – Peningkatan kos sara hidup yang menggila ketika ini membuatkan kehidupan golongan B40 di kampung atau bandar semakin tersepit apabila mereka hanya mampu menyediakan satu atau dua lauk sahaja sehari untuk berjimat demi memastikan kelangsungan hidup anak-beranak.
Seorang suri rumah, Annur Syakirah Mahazir, 27, berkata, lauk tersebut akan dicatu untuk dijadikan santapan mereka enam sekeluarga sehingga malam.
“Jika saya masak lauk ayam, ia akan dicatu supaya bertahan sampai malam. Ada juga kami hanya makan sardin murah dan telur untuk dijadikan hidangan untuk saya, suami, tiga anak dan ibu mentua.
“Kami tidak mampu membeli banyak lauk kerana ia mahal. Ikan kembung sekali sekala dibeli dua tiga ekor sahaja, manakala ayam pula saya beli saiz kecil untuk santapan sehingga tiga hari,” katanya di sini semalam.
Menurut Annur, dia bersyukur kerana ibu mentuanya ada menanam cili, sayur dan ulam-ulaman di halaman rumah untuk dijadikan sajian ketika makan setiap hari.
“Suami hanya bekerja kampung dan kami terpaksa berjimat pada tahap maksimum,” katanya yang memberitahu anak sulungnya menghidap jantung berlubang dan saluran injap darah terbalik selain paru-paru rosak.
Sementara itu, di Sungai Petani, keluarga Sanira Abu Seman, 39, di Kampung Baru Air Nasi, Semeling telah mencatu makanan sejak dua bulan lalu kerana tiada pendapatan tetap.
“Saya berhenti beli makanan di pasar sebab terlalu mahal. Suami kadang-kadang akan menjala dan memancing ikan di kolam terbiar untuk dijadikan lauk,” katanya.
“Sebahagian wang digunakan untuk membiayai kos perubatan, lampin pakai buang anak perempuan, Nor Farisha Shakila, 10, yang cacat,” katanya.
Di Hulu Terengganu, seorang tukang rumah, Mohd. Nasir Salleh, 53, berkata, dia hanya membeli bahagian ayam seperti dada, kepak, isi dan kaki berbanding seekor untuk berjimat.
“Seekor ayam cecah lebih RM20 dan kalau beli dua ekor mahu dekat RM50. Baik saya beli ikut kemampuan, potong kecil untuk kami lima beranak,” katanya.
Di George Town, Peniaga ayam di pasar Chowrasta, Mohamad Nasir Abdul Kalam, 31, berkata, ramai pelanggan membeli rangka, kaki atau pedal ayam sebagai menu hidangan keluarga.
“Ada yang minta ayam dipotong 30. Jika yang berduit, mereka akan beli bahagian tertentu ayam. Peniaga boleh bezakan orang tak mampu dan yang kaya,” katanya.
Seorang suri rumah, Aina Zaini, 38, berkata, dia membeli kaki ayam yang dijual pada harga RM4 hingga RM6 sekilogram termasuk rangka ayam RM1 seketul atau RM4 sekilogram.
Katanya, dia akan masak sup kaki ayam dengan nasi untuk mereka lima beranak.
“Saya tak mampu beli ayam yang bernilai RM23 seekor. Sup atau sambal kaki ayam sudah cukup buat kami kenyang hingga malam.
“Kalau bosan, saya masak sup rangka ayam. Walaupun tak banyak, tapi cukuplah dapat rasa isi ayam sikit-sikit,” katanya yang dapat mengurangkan kos mingguan sehingga RM50.
Semalam Kosmo! melaporkan kenaikan harga barang keperluan sejak kebelakangan ini mengundang kerisauan dalam kalangan golongan kurang berkemampuan sehingga ada di antara mereka yang terpaksa mencatu perbelanjaan.