NUANSA rock & roll pantas meresapi Zepp Kuala Lumpur malam Sabtu lalu sebaik kumpulan Wings mendominasi pentas gah tersebut bersaksikan kira-kira 2,500 penonton.
Aksi lincah vokalis yang bakal menyambut ulang tahun ke-54 pada 24 November depan, Datuk Awie bersama rakan seperjuangan yang rata-rata hampir sebaya dengannya kecuali gitaris, Edrie Hashim, 49, bagai tiada lelah.
Sakti frasa Naga Kramat yang juga judul album ke-10 band rock lagenda itu seakan-akan menyuntik adrenalin apabila mampu melonjakkan momentum persembahan berdurasi lebih dua jam.
Seperti tiada istilah puas dalam kamus perjalanan kerjaya seni lima figura yang menjadi pujaan ramai itu apabila sentiasa energatik walau tahun ini sudah berulang kali menggegarkan pentas dalam dan seberang tambak.
Memanaskan gelanggang bersama Entah Kiri Entah Kanan, Jumpa Hilang dan Lubuk Pusing daripada album yang diterbitkan pada 2002, konsert kali ini juga punya nilai sentimental buat vokalisnya.
Menerusi album tersebut tersaksinya detik bersejarah apabila pemilik nama sebenar Ahmad Azhar Othman itu kembali ke pangkuan band berkenaan selepas lapan tahun bergerak sendiri.
Sudah pasti nama yang dipilih untuk konsert ini bukan hanya melambangkan keunikan atau gah jenama Wings, malah juga sebagai satu kebetulan yang manis.
Repertoire persembahan diteruskan dengan Bernafas Dalam Lumpur, Opera Hidup, Romania dan Hukum Karma yang juga dendangan wajib dambaan ramai
Sebelum itu, Awie yang sememangnya bijak menguasai ruang dengan celoteh bersahaja pantas memancing perhatian khalayak dengan menyentuh isu Pilihanraya Umum Ke-15 (PRU15).
Dalam bergelak tawa, terselit peringatan buat semua supaya bijak membuat pilihan tidak kira anda di pihak penggubal dasar mahu pun pengundi.
“Panggil saya YB (Yang Berhormat), bukan babi”.
Klausa ringkas yang keluar daripada bibirnya disambut derai tawa penonton. Kedengaran agak kasar, namun penonton memahami maksud cuba disampaikan.
Bukan kerana dia bergelar ‘Datuk Awie’ hingga peminat memberi lesen besar untuknya bersikap terbuka, sebaliknya kata-kata sinis itu diluah bagi peringatan kepada bakal YB supaya menunaikan tanggungjawab sebaik-baiknya.
Awie turut menyeru orang ramai supaya terus mewujudkan kedamaian, tidak racis dan jangan ‘poyo’.
Celoteh vokalis itu tidak ketinggalan menyentuh penghargaan atas sokongan peminat yang membolehkan Wings mampu berada pada tahap sekarang.
“Alhamdulillah, 37 tahun kami berada dalam industri anda sentiasa menyokong kami, anda jadi kekuatan kami.
“Minta anda semua kenang kami di atas pentas ini. Ini konsert terakhir kami di Kuala Lumpur tahun ini sebelum bercuti panjang hingga awal tahun depan,” kata Awie lagi.
Pada masa sama, Awie memaklumkan akan bersama Eddie (gitar), Black (dram), Syam (gitar) dan Edrie (gitar) menunaikan umrah buat pertama kali pada awal bulan depan iaitu usai konsert di Pulau Pinang.
Sementara itu, malam yang semakin larut terus dihangatkan Dalam
Kehadiran Sofea, Opera Hidup, Lipas Kudung, Sekeping Kertas Berharga dan Gemuruh.
Seperti dijanjikan, band rock otai tersebut menyempurnakan aksi terakhir di Kuala Lumpur sebelum berehat panjang hingga awal tahun depan dengan lebih 20 dendangan malar segar.
Antara pilihan Awang Thrasher, Peronda Jaket Biru, Harapan, Jerangkung Dalam Almari, Taman Rashidah Utama, Bujang Senang dan Ingatkan Dia.
Mereka turut mengimbas nostalgia mengidolakan band rock tersohor dari Jepun, Loudness selain kumpulan asal German, Scorpions yang menjadi ikutan kaki rock ketika itu.
Lagu Ares’ Lament selain He’s a Women, She’s a Man dan Is There Anybody There berkumandang di Zepp KL.
Pantas masa berlalu, tempoh dua jam dirasakan tidak mencukupi, namun kepuasan yang dirasai khalayak khususnya penggemar tegar, Sayap Sayap Wings sukar diungkapkan dengan kata-kata.
Karisma pejuang rock tersohor kelima-lima tunjang utamanya menyerlah seawal minit pertama konsert anjuran MW Mega dan Awie Entertainment menguak tirai.
Tidak hairan apabila peralihan masa kini meletakkan Wings sebagai band ikonik tempatan yang menyuntik harapan generasi rockers baharu untuk terus melangkah.
Wings membuktikan kumpulan yang direalisasikan dari bawah bumbung sebuah sekolah pada tahun 1985 itu kini kekal ampuh, sekaligus sebagai bukti setiap mimpi itu mampu bertukar realiti.