NAPLES – Napoli dilaporkan berminat untuk mendapatkan khidmat bintang sensasi Manchester United, Cristiano Ronaldo yang dilihat berdepan kesulitan untuk terus kekal di Old Trafford.
Penyerang veteran itu ketika ini disingkirkan daripada skuad utama United selepas pengurus pasukan itu, Erik Ten Hag berang dengan sikapnya meninggalkan bangku simpanan ketika aksi menentang Tottenham Hotspur berlangsung.
Ronaldo ketika ini dipercayai semakin hampir untuk meninggalkan kelab itu buat kali kedua dan kembali ke Serie A selain dia juga terpaksa menerima tawaran pemotongan gaji kali ini.
Selain Napoli, beberapa pasukan di Liga Perdana Inggeris seperti Chelsea, Arsenal dan Newcastle juga dilaporkan berminat untuk mendapatkan khidmatnya, namun United mungkin tidak akan melepaskannya menyertai pasukan seteru di England.
“Chelsea berminat untuk mendapatkan Ronaldo sejak musim panas lalu, tetapi dia kini tidak lagi berada dalam senarai pasukan itu. Arsenal dan Newcastle juga sedar bahawa kualiti dimiliki pemain itu mampu membantu pasukan mereka.
“Tetapi, kedua-dua kelab itu bimbang dengan impak kehadiran Ronaldo. Situasi itu menyebabkan Itali mungkin menjadi destinasi terbaik buatnya.
“Napoli pula menginginkan Ronaldo sejak hujung musim lalu dan masih berminat. Ronaldo dianggap sebagai salah seorang pemain yang mampu membantu mereka kekal menguasai Serie A dan meneruskan perjalanan di pentas Eropah.
“Namun, halangan terbesar adalah untuk melunaskan permintaan gaji Ronaldo kerana pemain yang menerima gaji termahal pasukan adalah sekitar £90,000 (RM482,000),” jelas seorang sumber. – AGENSI