fbpx

Rod besi tertusuk rahang dan mulut, budak 8 tahun kembali sihat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan mengerikan semasa rod besi itu masih tertusuk dalam rahang Taliba sebelum berjaya dikeluarkan tanpa sebarang kecederaan serius. - SWNS

NEW DELHI – Seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun di negeri Uttar Pradesh, India disifatkan amat bernasib baik kerana tidak mengalami kecacatan kekal selepas jatuh di atas sebatang palang besi yang menembusi mulut dan rahangnya, lapor portal berita MailOnline semalam.

Mangsa, Taliba, yang tinggal di kampung Bhulanpur sedang bermain di luar rumah apabila dia terjatuh di atas batang besi itu.

Ia tercucuk di bahagian bawah rahangnya dan menembus keluar pada mulutnya ketika kanak-kanak lain bergegas mendapatkan keluarganya.

Mereka memotong sebahagian batang besi itu dan membawa Taliba ke hospital daerah terdekat yang terletak sejauh 15 kilometer (km) di Motipur pada 4 Oktober lalu.

Menurut pakar yang mengetuai pembedahan mengeluarkan batang besi dari rahang Taliba, Dr. Rajkumar Koli, pada mulanya dia meminta agar mangsa dibawa ke Kolej Perubatan Lucknow yang memiliki kemudahan lebih canggih.

“Ibu bapa Taliba tidak mampu untuk melalui perjalanan sejauh 140 km dan merayu agar anak mereka segera diselamatkan.

“Ini adalah kes paling menakutkan pernah saya lihat sepanjang bergelar petugas perubatan,” kata Rajkumar.

Menurutnya, pembedahan mengeluarkan besi itu sangat berisiko tinggi kerana perkhidmatan imbasan X-ray di hospital daerah tidak tersedia selepas pukul 5 petang.

“Saya kemudian segera memaklumkan pakar bius untuk menggunakan bius yang tersedia dan memulakan pembedahan untuk menyelamatkan saluran darah utama di sekitar kawasan yang dicucuk.

“Rod itu tersangkut dengan ketat dalam rahang dan untuk melonggarkannya,  saya terpaksa membuat potongan 1 sentimeter (sm) dan menarik rod keluar perlahan-lahan. Prosedur itu hanya mengambil masa kira-kira 35 minit,” jelas Rajkumar.

Tambah doktor, Taliba bernasib baik kerana batang besi itu tidak mengenai sebarang saluran darah ke otak.

Kanak-kanak itu telah dibenarkan keluar hospital selepas tiga hari menerima rawatan dan mula bercakap kira-kira lapan jam selepas rod besi berjaya dikeluarkan.

Taliba kini berada dalam keadaan sihat dan boleh bercakap serta makan seperti biasa. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI