fbpx

PRU15: Parti politik perlu bantu SPR buat hebahan Undi18

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PENGUNDI muda khususnya golongan berusia antara 18 hingga 20 tahun diseru untuk membuang undi pada PRU15 pada 19 November ini. – GAMBAR HIASAN

PUTRAJAYA – Mana-mana parti politik yang bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) perlu membantu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membuat hebahan kepada orang ramai khususnya pengundi muda berhubung daftar pemilih telah ditetapkan.

Penganalisis politik, Prof. Dr. Ahmad Atory Hussain berkata, bantuan hebahan itu bukan sahaja membolehkan pengundi muda mengetahui daftar pemilih mereka malah turut memboleh­kan peratusan keluar mengundi pada 19 November depan ditingkatkan.

“Dalam konteks ini, calon-calon bertanding boleh menggunakan pelbagai medium seperti media sosial, ceramah ataupun menghantar mesej kepada pe­ngundi kawasan Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) mereka mengenai daftar pemilih itu.

“Selain membuat hebahan, ia secara tidak langsung juga akan memperkenalkan calon kepada pengundi muda seterusnya memberikan kelebihan kepada golongan itu mengenali calon wakil rakyat secara dekat,” kata­nya kepada Kosmo! semalam.

Beliau mengulas laporan ­Kosmo! semalam mengenai masih terdapat golongan belia berusia 18 hingga 20 tahun yang tidak mengetahui nama mereka didaftarkan secara automatik sebagai pemilih melalui Undi18.

Mengulas lanjut, jelas beliau, bagi memastikan golongan itu mengetahui daftar pemilih secara automatik, SPR juga perlu berterusan membuat hebahan kepada pengundi muda dengan menggunakan pelbagai medium media cetak dan elektronik.

“Paling mudah untuk dekati kumpulan tersebut ialah menerusi platform media sosial. Jadi, SPR perlu memanfaatkan saluran itu untuk menyampaikan maklumat tentang daftar pemilih secara automatik dan mengajak mereka turun mengundi.

“SPR juga boleh mengulangi penghantaran mesej secara peribadi kepada golongan muda dengan memaklumkan mereka telah didaftarkan secara automatik serta perlu membuat semakan kawasan pengundian secara online,” katanya.

Ketika ditanya tentang segelintir pengundi muda yang enggan didaftarkan secara automatik sebagai pemilih, ujar beliau, perkara itu tidak mengundang tindakan undang-undang sekiranya mereka tidak mengundi.

“Kita tiada undang-undang kalau tidak mengundi akan didenda, itu hak rakyat untuk buat pilihan. Bagaimanapun, sebagai pemilih, lebih elok turun me­ngundi bagi memastikan proses demokrasi berjalan lancar.

“Justeru, anak muda yang didaftarkan perlu memainkan peranan mereka kali ini bagi memastikan peratusan keluar mengundi melebihi 60 peratus seterusnya berjaya membentuk kerajaan stabil,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI