PETALING JAYA – Nik Omar Datuk Nik Abdul Aziz antara calon yang bakal bertanding di Perak mewakili Pakatan Harapan (PH) di Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Pengumuman itu dibuat Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini, namun di kerusi mana beliau akan bertanding masih belum dapat disahkan.
“Nama ini tidak asing lagi di pentas ilmuan agama nasional dan beliau adalah anak bekas Mursyidul Am PAS, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan akan bertanding di Perak,” katanya.
Untuk rekod, Nik Omar tewas dalam pertembungan tiga penjuru kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka pada PRU14 lalu.
Beliau yang mewakili PH tewas selepas memperoleh 2,418 undi, ketinggalan jauh di belakang dua pencabarnya.
Anwar berkata, PKR memandang tinggi harapan dan kehendak rakyat supaya parti-parti politik menampilkan gabungan calon daripada pelbagai latar belakang yang berwibawa.
“Kami sedar bahawa pengundi-pengundi tidak lagi menilai parti semata-mata tetapi menitikberatkan untuk ketrampilan calon daripada pelbagai latar belakang dan kepakaran,” katanya.
Selain Nik Omar, enam lagi calon turut terpilih antaranya bekas Setiausaha Kerajaan Perak, Datuk Zainal Abu Seman yang akan bertanding di Perak dan Naib Canselor Universiti Sultan Zainal Abidin, Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan (Pahang).
Calon lainnya adalah Pensyarah Kanan Jabatan Parasitologi Universiti Malaya, Dr Noraishah Mydin Abdul Aziz (Wilayah Persekutuan) , bekas Ketua Pegawai Ekskutif Lembaga Zakat Selangor, Saipol Yazan Yusop (Selangor) dan bekas Presiden Majlis Belia Malaysia, Jufitri Joha (Negeri Sembilan) manakala Fathin Amelina Fazlie (Perlis), merupakan calon muda berusia 28 tahun yang menjadi taruhan.
Senarai penuh kerusi yang ditandingi wakil PKR di bawah Pakatan Harapan, akan diumumkan secara rasmi pada 28 Oktober ini. – KOSMO! ONLINE