fbpx

Presiden UMNO sudah biasa diserang- Ahmad Zahid

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA- Sesiapa saja yang menyandang jawatan Pengerusi Barisan Nasional (BN) atau Presiden UMNO akan menjadi sasaran pihak lawan kerana itu merupakan strategi pihak pembangkang sejak dulu lagi.

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, serangan tersebut akan diperkuatkan lebih-lebih lagi sekiranya Pengerusi BN mahupun Presiden UMNO tersebut merupakan seorang yang setia mempertahankan parti dan kebenaran.

“Lawan BN memperkuatkan ‘serangan’ ke atas Pengerusi BN menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 bukan sesuatu yang luar biasa. Ia terjadi luar biasa jika mereka tidak lagi ‘menyerang’ Pengerusi BN dengan pelbagai dakyah dari sebelum pilihan raya.

“Lebih-lebih lagi Pengerusi BN juga Presiden UMNO yang tidak mengalah kepada tekanan dan kezaliman mereka,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi BN itu berkata, pihak lawan amat mengambil berat tentang kerusi Parlimen Bagan Datuk yang disandangnya.

“Sebab itu tokoh Dap, Lim Kit Siang amat mengambil berat tentang kerusi Parlimen Bagan Datuk disandang Presiden UMNO sehinggakan soal calon Pakatan Harapan (PH) di kerusi Parlimen Bagan Datuk pun beliau dalam kerisauan.

“Minta PH restui individu pernah menyarankan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dimansuhkan jadi calon. Alasan Lim Kit Siang mahu lawan rasuah, tetapi itu alasan yang sangat-sangat tidak jujur oleh beliau,” katanya.

Menurut Ahmad Zahid, Lim Kit Siang sendiri tahu bahawa beliau dikenakan pertuduhan di mahkamah semasa PH menguasai negara selepas menang pada PRU14.

“Beliau sendiri tahu Presiden UMNO dikenakan pertuduhan di mahkamah semasa PH menguasai negara. Pertuduhan yang dikenakan ke atas saya sejurus PH menang PRU14 dan Tommy Thomas dilantik Peguam Negara.

“Jika saya mengulas secara terperinci dan terbuka mengenainya di sini boleh mengundang implikasi perundangan. Namun syukur alhamdulilah Mahkamah Shah Alam telah pun melepaskan malah membebaskan saya daripada pertuduhan,” katanya.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, meskipun laporan siasatan Pasukan Petugas Khas ke atas buku Tommy Thomas telah didedahkan, sehingga ke hari ini tiada pemimpin PH memberikan ulasan mengenainya.

“Laporan siasatan Pasukan Petugas Khas ke atas buku Tommy Thomas juga telah didedahkan kepada umum. Sehingga hari ini tiada pemimpin PH termasuk Lim Kit Siang mengulas mengenainya seolah-olah buat-buat tak tahu.

“Lim Kit Siang jika jujur melawan rasuah sepatutnya mempersoalkan tentang kes rasuah tanah dan banglo. Kes rasuah bekas Setiausaha Agung Dap itu yang tiba-tiba digugurkan selepas beberapa bulan PH menang PRU14.

“Kes digugurkan di tengah-tengah perbicaraan setelah mahkamah memutuskan prima facie dan ramai saksi telah pun dipanggil,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI