PETALING JAYA – Juara Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) memulakan kempen Piala Malaysia dengan langkah kanan selepas meraih kemenangan 2-0 ke atas Petaling Jaya City (PJ City) pada aksi pertama pusingan 16 terbaik sebentar tadi.
Pada perlawanan di Stadium MB Petaling Jaya itu, skuad Harimau Selatan kendalian Hector Bidoglio membariskan kesebelasan terbaik dengan menyenaraikan Syafiq Ahmad, Arif Aiman Hanapi, Leandro Velazquez dan Safawi Rasid di jentera serangan.
Pasukan pelawat tidak menunggu lama untuk mendahului hasil tandukan yang dilakukan oleh Shahrul Saad seawal minit ke-4 hasil sepakan penjuru yang diambil oleh Arif Aiman.
Shahrul menunjukkan kebolehan selaku pencipta ‘assist’ dengan melakukan hantaran tepat buat Safawi Rasid untuk menggandakan kelebihan pada minit ke-39.
Bersambung pada babak kedua, JDT semakin garang apabila menambah gol ketiga menerusi jaringan yang dilakukan oleh pemain gantian, Akhyar Rashid pada minit ke-70.
Pemain import, Fernando Foriesteri melengkapkan kemenangan bergaya Harimau Selatan dengan gol keempat pada minit ke-79.
Sementara itu, di Stadium Bandaraya, George Town, skuad Penang gagal memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri selepas terikat 2-2 bertemu wakil Liga Premier, Kuching City.
Gol skuad Harimau Kumbang dijaringkan oleh Lucas Silva pada minit ke-39 dan ke-78 manakala pasukan pelawat meraih jaringan menerusi Alif Hassan (m-45) dan Abu Kamara (m-73).
Aksi pusingan kedua dijadualkan berlangsung pada 31 Oktober depan. – KOSMO! ONLINE