fbpx

Persediaan akhir sebelum kelayakan Piala Dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SKUAD besbol wanita negara bergambar kenangan pada majlis penyerahan Jalur Gemilang di Padang Besbol ISKL baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Siri persahabatan menentang Indonesia merupakan langkah persediaan terbaik buat skuad besbol wanita kebangsaan sebelum menghadapi pusingan kelayakan ke Piala Dunia 2024.

Presiden Persatuan Besbol Malaysia (BFM), Sazali Husain berharap barisan pemain terpilih memanfaatkan sepenuhnya aksi menentang skuad besbol wanita Indonesia di Jakarta bermula esok hingga 30 Oktober ini.

Beliau yang juga ketua jurulatih skuad besbol wanita kebangsaan, percaya peluang keemasan ini tidak seharusnya disia-siakan oleh para pemain kerana Indonesia juga merupakan pasukan yang hebat.

“Kita ambil serius walaupun ia cuma siri persahabatan. Indonesia amat berpengalaman selain mereka juga ada banyak pasukan dan mendapat lebih banyak pendedahan.

“Jadi ini adalah satu platform terbaik untuk bantu kita bukan sahaja dari segi permainan tetapi cuba mengutip mata ranking dunia. Ia juga persediaan terakhir sebelum ke kelayakan Piala Dunia tahun depan.

“Saya nak melihat peningkatan dan persediaan para pemain pada tahap terbaik sebelum menghadapi pasukan-pasukan yang lebih berpengalaman. Kita mahu cuba tempat sejarah layak kali pertama ke Piala Dunia,” katanya.

Sazali percaya skuad kendaliannya yang berlepas ke Jakarta hari ini, mampu bersaing sengit apabila beraksi di pusingan kelayakan Piala Dunia 2024 yang akan diadakan di Hong Kong tahun depan.

“Sebelum ini kita tak dapat bertanding di pusingan kelayakan Piala Dunia atas masalah teknikal. Kali ini kita berpeluang dan saya yakin kita mampu berikan persembahan terbaik,” jelasnya.

Sebagai rekod, satu majlis penyerahan Jalur Gemilang telah diadakan buat skuad besbol wanita negara yang disempurnakan Presiden Yayasan Komuniti Wanita Dalam Sukan Malaysia (FOWCUS), Datuk Zuraida Kamaruddin di Padang Besbol Sekolah Antarabangsa Kuala Lumpur (ISKL) baru-baru ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI