RAUB – Seorang peniaga gerai burger maut manakala sembilan individu mengalami kecederaan selepas sebuah pacuan empat roda hilang kawalan dan merempuh sebuah gerai burger dan empat buah kenderaan yang diletakkan di bahu jalan.
Kejadian berlaku di Kilometer 342 Jalan Kuala Lumpur-Kota Bharu berhampiran Simpang Sungai Pasu di sini malam semalam.
Ketua Polis Daerah Raub, Superintendan Mohd Shahril Abdul Rahman berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 11 malam itu mangsa Mohamad Ariff Anuar Khan,32, yang merupakan peniaga gerai burger meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.
“Berdasarkan siasatan awal kemalangan berlaku semasa pacuan empat roda jenis Toyota Hilux yang dipandu seorang lelaki dari arah bandar Raub ke Lipus hilang kawalan lalu terbabas ke laluan bertentangan.
“Kenderaan pacuan empat roda berkenaan kemudiannya merempuh sebuah gerai burger, pelanggan serta empat buah kenderaan yang diletak di bahu jalan berhampiran gerai burger berkenaan,”katanya di sini hari ini.
Menurut Mohd. Shahril peniaga gerai yang meninggal dunia di tempat kejadian dibawa ke Hospital Raub untuk bedah siasat manakala individu lain yang cedera dirawat di hospital sama.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan pemandu serta penumpang pacuan empat roda berkenaan ditahan untuk siasatan lanjut.
Ujarnya, berdasarkan siasatan awal mendapati lokasi kejadian adalah gelap dan tiada lampu jalan serta semasa kejadian permukaan jalan adalah basah. – KOSMO! ONLINE