BARU-BARU ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah menggunakan bahasa Melayu ketika menyampaikan ucapan di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di New York, Amerika Syarikat.
Beliau juga memakai baju Melayu dengan lengkap bersongkok ketika itu.
Perkara tersebut telah mengundang perdebatan hebat dalam kalangan masyarakat.
Ada bersetuju dengan tindakan tersebut, tetapi tidak kurang juga mereka yang memandang sinis.
Ini adalah lumrah terhadap sesuatu tindakan yang dilakukan oleh mana- mana individu.
Pada saya, tindakan tersebut adalah sesuatu yang berani dan belum pernah dilakukan oleh mana-mana Perdana Menteri Malaysia sebelum ini.
Pujian harus diberikan kepada Ismail Sabri terhadap keberaniannya untuk memperkenalkan bahasa kebangsaan dan baju Melayu di pentas antarabangsa.
Suatu ketika dahulu iaitu sekitar tahun 1940-an, baju Melayu dipakai dengan gah oleh pembesar di Nusantara seperti Tanah Melayu, Indonesia dan Brunei sewaktu ke luar negara.
Bagaimanapun, ia semakin terhakis dan pemakaian baju Melayu menjadi sesuatu yang asing terutama apabila berada di luar negara.
Biasanya, baju Melayu hanya dipakai ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri di luar negara.
Berbalik kepada penggunaan bahasa Melayu, ia pernah menjadi bahasa pengantara Nusantara pada beberapa abad lepas.
Bahasa tersebut turut digunakan dalam kalangan pedagang dari China, India dan Arab apabila berlabuh di Tanah Melayu terutama sekali Melaka.
Justeru, apabila Perdana Menteri ingin mengangkat martabat bahasa Melayu ke peringkat antarabangsa, ia bukanlah mustahil untuk dilakukan.
Akan tetapi, bahasa Melayu perlu diperkasakan terlebih dahulu di negara ini
Sejak kebelakangan ini, ramai pakar telah menyuarakan kebimbangan terhadap nasib bahasa Melayu yang kini berada dalam keadaan ‘tenat’ dan terpinggir.
Ia dapat dilihat di dalam pelbagai medium komunikasi seperti rancangan televisyen mahupun radio.
Walaupun program tersebut disiarkan menerusi saluran berbahasa Melayu, namun sudah menjadi trend tajuk program itu di dalam bahasa Inggeris atau bahasa rojak.
Perkara tersebut sangat menyedihkan dan memerlukan perhatian segera daripada pihak kerajaan.
Tindakan pembetulan perlu diambil segera sebelum bahasa Melayu pupus di negara ini.
Bagi tujuan tersebut, sudah sampai masanya industri pelancongan memainkan peranan mereka sebagai barisan hadapan negara.
Pihak industri perlu mengambil peluang untuk memperkasakan penggunaan bahasa Melayu dengan lebih meluas terutama di negara ini.
Penggunaan bahasa Melayu perlu dimaksimumkan penggunaannya dalam segala aspek industri pelancongan seperti pada nama bangunan, produk pelancongan serta menu makanan dan minuman.
Ia penting bagi mempromosikan bahasa Melayu kepada semua golongan dan penggunaannya dapat diperluaskan.
Sebagai industri yang mempunyai akses paling hampir dengan warga antarabangsa, industri pelancongan juga mampu membawa penggunaan bahasa Melayu ke peringkat lebih tinggi.
Dengan kedudukan Malaysia sebagai salah sebuah destinasi pelancongan utama dunia, ia tidak mustahil untuk direalisasikan.
Ia juga dapat meningkatkan jati diri masyarakat tempatan terhadap negara dan bangga dengan kebudayaan serta kesenian mereka.
Sudah sampai masanya bahasa Melayu kembali menjadi ‘tuan’ di bumi sendiri dan industri pelancongan paling layak untuk menjadi ‘juara’ bagi tujuan tersebut.
Dalam pada itu, penggunaan bahasa Melayu yang betul perlu ditekankan kepada semua pihak dan tiada kompromi kepada mereka yang tidak menggunakan bahasa tersebut di negara ini.
Penguatkuasaan penggunaan bahasa Melayu harus lebih tegas dan mengenakan tindakan terhadap mereka yang ingkar.
Tindakan segera harus diambil oleh kerajaan dan semua pihak berkepentingan bagi memartabatkan bahasa Melayu tanpa meminggirkan bahasa asing lain.
Peruntukkan RM5 juta dalam Bajet 2023 bagi memperkasakan bahasa Melayu merupakan satu langkah proaktif bagi mengangkat bahasa kebangsaan ke peringkat lebih tinggi.
Walaupun jumlahnya kecil jika dibandingkan dengan hasrat Perdana Menteri yang mahu melihat bahasa Melayu gah di mata dunia, namun ia merupakan permulaan yang baik.
Di samping itu, lebih banyak kempen dan promosi perlu diadakan terutama kepada golongan belia serta kanak-kanak bagi menggalakkan mereka menggunakan bahasa Melayu yang betul.
Ini kerana, penggunaan bahasa Melayu dengan betul merupakan sifat patriotisme yang patut ditanam kepada semua lapisan masyarakat.
Justeru, saya ingin menyarankan kepada semua pemain industri dan pemegang taruh pelancongan di Malaysia supaya menyahut cabaran tersebut.
Mereka perlu memanfaatkan peluang yang ada bagi memartabatkan bahasa Melayu di pentas antarabangsa.