PETALING JAYA – Seorang pengantin lelaki ‘naik syeikh’ ketika melihat persembahan silat dan alunan muzik serunai di majlis perkahwinannya.
Kejadian yang dipercayai berlaku di salah sebuah daerah di Kelantan itu sempat dirakam dan dimuat naik di TikTok oleh salah seorang tetamu yang hadir.
Perkongsian video tersebut telah tular di media sosial sehingga meraih 6 juta tontonan dengan lebih 11 ribu perkongsian.
Susulan itu, majoriti netizen berpendapat pengantin lelaki tersebut mempunyai darah persilatan atau mempunyai salasilah keturunan yang mempunyai ilmu yang berkaitan dengan kesenian ilmu orang tua-tua dahulu.
“Darah gayong seni silat dengar muzik pun ketar tubuh badan,” tulis seorang netizen.
“Bahaya muzik ni tambah dengan main silat lagi, banyak kes yang jadi macam ni dekat kampung,” komen seorang netizen lagi.
“Keluarga saya pun macam ni, arwah ayah guru silat, kami sekeluarga memang tidak boleh dengar alunan serunai, automatik akan gelisah dan rasa ingin turut sama bersilat,” kongsi netizen yang lainnya.
Dalam pada itu, terdapat juga netizen yang meninggalkan komen sinis dan menggelikan hati kepada aksi pengantin lelaki tersebut.
“Bila hantaran terlalu mahal, kebetulan bapa mertua yang buka silat,” komen seorang netizen.
“Ini bukan darah pahlawan tapi ini ada darah tinggi cepat sangat marah-marah,” kata seorang pengguna.
Bagaimanapun, perkara sebegini sememangnya wujud dan terjadi kepada mereka yang mempunyai ilmu persilatan dan juga kesenian lain seperti Mak Yong, ‘main teri’ dan lain lain – KOSMO! ONLINE