GEORGE TOWN – Sindiket pengedaran ganja dari negara jiran tumpas selepas polis Pulau Pinang merampas 573 kilogram bernilai RM1.43 juta dalam dua serbuan berasingan di Tanjung Bungah, Sabtu lalu.
Dalam serbuan itu, dua lelaki warga tempatan berusia 54 dan 58 tahun yang dipercayai terlibat dengan sindiket pengedaran dadah tersebut turut ditahan.
Difahamkan, kedua-dua suspek merupakan nelayan dan suspek berusia 58 tahun itu merupakan dalang utama yang menjadi ketua sindiket pengedaran dadah berkenaan.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, dalam serbuan pertama kira-kira pukul 1.40 pagi itu, polis bertindak menyerbu sebuah pondok di persisiran pantai Tanjung Bungah dan menahan seorang suspek berusia 54 tahun.
“Dalam serbuan ini, pihak polis berjaya merampas lapan karung guni mengandungi 243 ketulan mampat ganja seberat 246 kilogram bernilai RM612,000,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut, di sini hari ini.
Menurut Soffian, dalam serbuan kedua kira-kira pukul 1.55 pagi, polis berjaya menahan suspek berusia 58 tahun yang dipercayai dalang sindiket tersebut.
“Suspek ditahan di atas sebuah bot kira-kira 600 meter dari persisiran pantai Tanjung Bungah, ketika serbuan dijalankan suspek cuba melarikan diri namun berjaya dipintas oleh pasukan polis marin.
“Ketika ditahan suspek sedang memindahkan ganja dari laut ke kawasan pondok di persisiran pantai,” katanya.
Tambahnya, di dalam bot berkenaan polis merampas 11 karung guni berisi 321 mampatan daun kering kehijauan dipercayai ganja seberat 327 kilogram bernilai RM818,000.
“Dalam operasi ini, polis turut menyita sebuah bot berserta enjin bernilai RM93,000 dan nilai rampasan dadah serta bot ini adalah kira-kira RM1.52 juta.
“Kedua-dua suspek ditahan reman sehingga 28 Oktober bagi membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE