AMSTERDAM – Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp menarik nafas lega selepas penyerang sensasi pasukan, Darwin Nunez boleh diturunkan pada aksi Liga Juara-Juara menentang Ajax Amsterdam biarpun mengalami kecederaan minggu lalu.
Penyerang antarabangsa Uruguay itu terpaksa disisihkan ketika skuad The Reds tewas mengejut 0-1 kepada Nottingham Forest minggu lalu kerana enggan risiko kecederaan hamstring yang dialaminya bertambah serius.
Menurut Klopp, khidmat Nunez hampir pasti digunakan pada perlawanan di Arena Johan Cruyff nanti selain beberapa pemain penting seperti Ibrahima Konate dan Naby Keita juga sudah menyertai pasukan utama.
“Nunez terpaksa direhatkan minggu lalu kerana kami tidak mahu kecederaannya semakin serius. Namun, saya jangka dia boleh beraksi ketika bertemu Ajax kerana dia sudah pulih sepenuhnya dan bersedia untuk membantu pasukan.
“Situasi sama melibatkan Konate dan Keita yang mana saya harap kehadiran pemain-pemain ini dapat membantu pasukan melakar keputusan positif sekali gus mengesahkan slot ke peringkat kalah mati,” katanya.
Sementara itu, pengendali dari Jerman itu menyeru agar barisan pemain segera melupakan kekecewaan yang dialami selepas tewas mengejut kepada Nottingham dengan menunjukkan prestasi sebenar ke atas kelab Belanda itu.
“Tidak boleh nafikan kami memulakan aksi musim ini dengan prestasi turun naik, namun saya mahu semua pemain bekerja keras dan buktikan keupayaan sebenar. Sekarang kami menempuh cabaran hebat dan hadapi tekanan ini sebaiknya,” katanya. – AGENSI