PETALING JAYA – Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengucapkan tahniah kepada Rishi Sunak, di atas pelantikannya sebagai Perdana Menteri United Kingdom (UK) yang baharu.
Ismail Sabri menerusi ciapannya di Twitter turut menzahirkan keyakinan dengan dedikasi dan kepimpinan Sunak selain berharap kerjasama sedia ada terus diperkukuh.
“Saya berharap dapat bekerjasama rapat dengan Tuan Yang Terutama untuk meraih potensi hubungan kedua-dua negara,” katanya.
Dalam masa sama Ismail Sabri turut mendoakan agar Sunak diberikan kesihatan dan kebahagiaan berterusan manakala bagi rakyat UK, semoga terus menikmati keamanan, kestabilan dan kemakmuran.
Ismail Sabri berkata, beliau berbesar hati dengan pencapaian yang dikecapi setakat ini sejak meniti hubungan erat kedua-dua negara yang telah terjalin 65 tahun lalu.
“Malaysia dan UK telah menikmati hubungan yang mesra dan produktif, disokong oleh kerjasama dalam pelbagai aspek serta saling menguntungkan, terutamanya dalam sektor perdagangan dan pelaburan.
“Tambahan pula, hubungan kedua-dua negara yang akrab, sejarah dan aspirasi bersama sememangnya telah membawa manfaat yang amat besar kepada rakyat kedua-dua negara,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan Sunak menjadi Perdana Menteri Britain pertama bukan daripada bangsa kulit putih dan beragama Hindu. – KOSMO! ONLINE