fbpx

Feri elak kabel boya kapal pengerukan punca terkandas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

LANGKAWI – Insiden melibatkan 545 penumpang feri yang terkandas pada beting pasir Ahad lalu boleh dielakkan jika kawasan alur pelayaran feri selamat daripada sebarang ‘jerangkap samar’.

Pengurus Sumber Manusia dan Operasi Konsortium Ferry Line Ventures Sdn. Bhd., Kap­ten Baharin Baharom berkata, kejadian itu berlaku kerana pe­ngangkutan air tersebut mahu mengelak daripada melanggar moorings anchor cable (kabel boya tambatan) kapal korek.

Menurutnya, kedudukan kabel boya tambatan kapal korek bagi kerja-kerja pengerukan berada di laluan feri.

“Kita meminta Jabatan Laut untuk memantau kerja-kerja pengerukan di kawasan alur pelayaran bagi mengelakkan keja­dian seperti ini berulang.

“Insiden seperti ini akan menyebabkan pihak feri dipersalahkan, sedangkan kejadian tersebut adalah di luar kawalan kami,” katanya di sini semalam.

Baharin memberitahu, sewaktu kejadian pada pukul 2.57 petang itu, paras air laut masih sesuai untuk pelayaran pada kedalaman 1.75 meter (m).

Namun begitu, katanya, paras laut surut dengan cepat pada pukul 3.28 petang menyebabkan kerja-kerja menarik feri tergendala.

Sementara itu, Pengarah JLM Wilayah Utara, Mohd. Hafiz Abdul Majid memberitahu, siasatan awal mendapati, ketika kejadian feri tersebut mengelak kapal yang sedang melakukan kerja pengerukan di laluan pengangkutan air tersebut.

“Pengerukan dibuat di laluan feri belayar, jadi kita sedang menyiasat bagaimana feri tersebut mengelak kapal hingga menyebabkan insiden tersebut terjadi,” katanya.

Jelas beliau, pihak yang terlibat mengambil masa lama untuk menyelamatkan penumpang berikutan air surut sepenuhnya pukul 3 petang semasa insiden itu berlaku.

Beliau turut menafikan insiden feri kerap berlaku pada waktu puncak seperti cuti persekolahan dan perayaan.

Jelasnya, kebanyakan pera­yaan di Malaysia disambut mengikut takwim qamari yang mana keadaan bulan mempenga­ruhi pasang surut air laut dan ketika kejadian, air laut surut sepenuhnya.

“Kerja-kerja pengerukan bagi laluan feri Kuala Kedah-Langkawi dijangka siap penghujung tahun ini, manakala laluan Kuala Perlis-Langkawi pula pada Februari 2023.

Kosmo! semalam melaporkan penumpang feri kecewa dan serik untuk menggunakan per­khidmatan pengangkutan feri lagi selepas mengalami sendiri insiden terperangkap lebih enam jam di tengah laut.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI