PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir di 10 buah negeri sehingga pukul 9 malam ini.
MetMalaysia dalam satu hantaran berkata, amaran itu dikeluarkan bagi seluruh negeri Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak.
Selain itu, amaran ribut petir itu juga dikeluar di beberapa daerah di negeri Kelantan, Terengganu, Johor, Sarawak dan Sabah.
“Amaran ribut petir dikeluarkan di daerah Jeli, Kuala Krai dan Gua Musang di Kelantan susulan hujan lebat berserta ribut petir.
“Amaran sama juga dikeluarkan di Terengganu melibatkan daerah Hulu Terengganu, Dungun dan Kemaman,” katanya di sini hari ini.
Sementara itu katanya, amaran ribut petir juga di keluarkan bagi negeri Pahang melibatkan Tanah Tinggi Cameron, Jerantut, Kuantan, Bera, Pekan dan Rompin.
“Manakala di Johor pula, amaran ribut petir dikenakan di Segamat, Muar, Batu Pahat, Kluang, Mersing, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru.
“Cuaca buruk juga diramalkan akan melanda Sarawak terutam sekali di Kuching (Bau dan Kuching), Serian, Samarahan, Sri Aman (Sri Aman), Mukah (Dalat dan Mukah), Bintulu (Tatau dan Bintulu) dan Miri (Telang Usan),” ujarnya.
Tambah kenyataan itu, MetMalaysia berkata amaran ribut petir turut dikeluarkan di Sabah melibatkan kawasan Pedalaman (Tambunan), Pantai Barat (Ranau), Tawau (Lahad Datu) dan Sandakan (Tongod, Telupid dan Beluran).
Sementara itu, dalam hantaran berbeza MetMalaysia memaklumkan pihaknya akan melaksanakan pengujian siren Sistem Amaran Awal Tsunami Malaysia (SAATNM) esok.
“Pengujian siren itu akan diadakan di Kuala Muda, Kedah bermula pukul 11.30 pagi hingga 1.30 tengah hari dan Bagan Belat, Pulau Pinang pada 12.30 tengahari hingga 2.30 petang.
“Penduduk di kawasan sekitar dinasihatkan agar tidak panik dengan bunyi siren tersebut kerana ia merupakan suatu ujian sahaja,” katanya. – KOSMO! ONLINE