SHAH ALAM – Sabah FC masih mempunyai banyak kerja rumah perlu dilakukan meskipun mencatat kemenangan 2-1 ke atas UiTM FC pada aksi pertama pusingan 16 terbaik Piala Malaysia sebentar tadi.
Bekalan satu gol dari Stadium UiTM Shah Alam itu masih tidak memberikan kelebihan besar buat The Rhinos menjelang aksi timbal balik di Stadium Likas, Kota Kinabalu pada Isnin ini.
Bagaimanapun, skuad bimbingan Datuk Ong Kim Swee sekurang-kurangnya tetap boleh tersenyum kerana berjaya meraih dua gol dalam keadaan UiTM mensia-siakan banyak peluang sepanjang 90 minit permainan.
Penyerang import UiTM dari Ghana, George Attram seharusnya menyalahkan diri sendiri kerana gagal menyudahkan deretan peluang dimiliki untuk meletakkan The Lion Troops di hadapan dalam babak pertama.
Sebaliknya, Sabah yang terlebih dahulu mengambil kesempatan dengan membuka tirai jaringan menerusi sepakan percuma menarik daripada kapten, Baddrol Bakhtiar pada minit ke-44.
Gol kedua pasukan yang menamatkan saingan Liga Super musim ini di tempat ketiga itu hadir menerusi rembatan pemain gantian, Maxsius Musa pada minit ke-70.
Sabah dilihat hampir-hampir membawa bekalan dua gol ke Likas sebelum UiTM bangkit dengan meledak jaringan sagu hati menerusi larian solo Attram.
Attram berjaya menewaskan penjaga gol Sabah, Damien Lim sebelum dia mudah menolak masuk untuk menjaringkan gol yang amat penting buat UiTM pada minit ke-91.
Sebagai rekod, pemenang antara Sabah dan UiTM bakal bertemu sama ada Penang FC atau Kuching FC di peringkat suku akhir pada 6 November depan. – KOSMO! ONLINE