ALOR SETAR – Persatuan Pengguna Kedah (Cake) menyarankan kerajaan supaya menyediakan subsidi ikan kembung supaya rakyat tidak terbeban dengan kenaikan harga hidupan marin itu.
Presidennya, Mohamad Yusrizal Yusoff berkata, tindakan itu dapat membantu mengawal harga ikan tersebut sekali gus meringankan beban rakyat.
“Ikan sejuk beku jenama Q Fish pula tiada stok kerana kekurangan bekalan ekoran musim tengkujuh dan monsun.
“Kerajaan boleh mengimport ikan kembung dari negara jiran bagi menampung kekurangan bekalan pada musim tengkujuh,” katanya.
Menurut Mohamad Yusrizal, bagi mengatasi masalah kekurangan telur pula, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan perlu mengambil langkah membendung perkara itu.
“Bagi isu minyak masak peket pula, Cake mencadangkan supaya jumlah kuota bekalan itu ditambah dan dihantar terutamanya di kawasan kampung dan bandar yang mempunyai ramai penduduk B40.
“Di samping itu, kerajaan perlu menguatkuasakan pengawalan terhadap minyak masak tidak bersubsidi supaya harga yang dijual tidak terlalu tinggi,” katanya.
Dalam pada itu, kata beliau, berdasarkan lawatannya ke sebuah kampung baru-baru ini, ada penduduk yang kurang berkemampuan mengambil inisiatif menjala ikan di sungai sebagai sumber protein untuk santapan tengah hari dan malam.