PASUKAN Amigos VFL berjaya menjulang kejuaraan pada e-Sukan kategori FIFA Virtual Football apabila menewaskan pasukan Klasiko VFL 1-0 pada perlawanan akhir, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000 di Iskandar Puteri, Johor kelmarin.
Pada saingan di Kompleks Sukan Educity itu, Amigos VFL yang merupakan gandingan ahli dari Terengganu dan Selangor berjaya menundukkan Klasiko VFL hasil jaringan tunggal Adam Johan pada separuh masa kedua.
Ketua pasukan Amigos VFL, Amirul Ashraf Hassan Norin, 27, berkata, pasukannya telah melakukan latihan secara intensif secara dalam talian tiga kali seminggu dan berjaya membuahkan hasil.
“Kejayaan ini adalah hasil kerjasama semua dan secara berpasukan meskipun kami terdiri daripada gandingan ahli dari Terengganu dan Selangor.
“Kami mula bersama sejak tahun 2019 dan kekuatan pasukan kami adalah memiliki semangat berpasukan,” katanya selepas majlis Penyampaian Hadiah Johor E-Sports Festival 2022.
Tempat ketiga bagi kategori FIFA Virtual Football dimenangi oleh pasukan SoberSancks VFC, manakala kedudukan keempat diraih XCGF XForce.
Bagi kategori Mobile Legend Bang Bang, pasukan Homebois muncul juara diikuti naib juara oleh ELUX dan ketiga oleh Beduk, manakala kategori PUBG menyaksikan pasukan Dingin merangkul johan sambil Invict Star Elite meraih naib johan serta Todak di tempat ketiga.
Kejohanan yang dibawakan oleh Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ) itu melibatkan tiga jenis permainan iaitu Mobile Legends Bang Bang, Player Unknown’s Battlegrounds (PUBG) Mobile dan FIFA Pro Club 22 dengan pertandingan diadakan secara berperingkat.