PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi Malaysia pada pagi ini mengeluarkan amaran ribut petir di tiga buah negeri.
Amaran itu dikeluarkan susulan hujan lebat dan angin kencang di seluruh negeri Perlis serta beberapa daerah di Kedah dan Johor sehingga pukul 12.00 tengah hari nanti.
“Ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka melanda beberapa daerah di Kedah iaitu di Langkawi dan Kubang Pasu.
“Keadaan sama juga diramalkan berlaku di Johor melibatkan daerah Pontian, Kota Tinggi dan Johor Bahru,” katanya di sini hari ini.
MetMalaysia berkata, amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter per jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam. – KOSMO! ONLINE