fbpx

17,800 pelajar asnaf terima zakat melalui Simpan SSPN 2022

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Apli semasa menyampaikan zakat PTPTN kepada penerima.

PETALING JAYA – Seramai 17,800 pelajar dalam kalangan asnaf dari 178 kawasan terpilih menerima sumbangan zakat Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) di bawah Program Kembara Keluarga Simpan SSPN 2022.

Program dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) dan pe­mimpin setempat melibatkan sumbangan dalam bentuk akaun Simpan SSPN Prime.

Pengerusi PTPTN, Dr. Apli Yusoff berkata, pihaknya telah memperuntukan kira-kira RM1.78 juta bagi menjayakan program berkenaan.

Jelas beliau, Program Kembara Keluarga Simpan SSPN 2022 dilancarkan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad pada Program Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) Prihatin Keluarga Malaysia di Dewan Sultan Mizan, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) pada 8 September lalu.

“Program itu melibatkan lapan kawasan dengan jumlah sumbangan sebanyak RM80,000 dan setiap kawasan diperuntukkan sebanyak RM10,000.

“Program ini akan dapat memberi manfaat kepada Keluarga Malaysia dalam perancangan kewangan bagi tujuan pendidikan tinggi,”katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Mengulas lanjut, Apli berkata, PTPTN yang sentiasa komited dan prihatin dalam membantu dan menyokong masyarakat memartabatkan pendidikan.

“Diharapkan Program Kembara Keluarga Simpan SSPN 2022 ini memberi sinar kepada anak-anak untuk terus mencipta kejayaan hebat dalam akademik dan sahsiah, sekali gus menjadi kebanggaan ibu dan ayah.

“Sebagai peneraju tabung pendidikan tinggi utama negara dan agensi di bawah KPT, kami di PTPTN akan sentiasa memberi sokongan dan dorongan demi pembangunan anak bangsa selari dengan moto PTPTN, Peluang Kejayaan Anda,” ujarnya.

Selain Terengganu, Program Kembara Keluarga Simpan SSPN 2022 telah dilaksanakan di empat negeri lain iaitu di Peringkat Negeri Sabah, Peringkat Negeri Melaka, Peringkat Negeri Johor dan Peringkat Negeri Pulau Pinang. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI