BEIJING – Seorang wanita di China bertindak di luar kebiasaan apabila menyamar menjadi seorang lelaki dan secara curi-curi, tinggal di asrama pekerja lelaki kerana mahu mencari calon kekasih, lapor laman berita Mothership semalam.
Paparan di platform media sosial NetEase menyatakan, wanita itu menyelinap masuk ke dalam asrama lelaki yang menempatkan pekerja sebuah kilang elektronik.
Penyamaran wanita itu akhirnya berjaya dibongkar oleh pekerja di asrama itu dan melaporkannya kepada penyelia kediaman.
Pada mulanya, wanita itu enggan meninggalkan asrama lelaki walaupun pihak pengurusan telah menyediakan tempat tinggal baharu di dorm wanita.
“Dia enggan keluar kerana takut peluang bertemu cinta semakin tipis. Wanita itu juga memaklumkan bahawa dia sudah menemui seorang lelaki yang diminati di asrama tersebut,” tulis keterangan pada paparan berkenaan.
Wanita itu hanya bersetuju untuk berpindah selepas penyelia berjanji untuk mengatur janji temu dengan lelaki yang diminatinya.
Artikel itu juga menyatakan bahawa wanita itu mungkin mempunyai masalah perkembangan mental atau lembam. – Agensi