fbpx

Suhafiza sedia khidmat lepas bersalin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SUHAFIZA (tengah) kini memiliki dua orang confinement lady terlatih yang bernaung di bawah syarikatnya, Sri Anggun Confinement Lady.

ARAU – Setiap ibu yang baharu menjalani proses melahirkan anak pasti mahukan diri serta cahaya matanya berada dalam keadaan selamat, sihat dan stabil terutama dari segi emosi.

Pada fasa pasca bersalin, pengurusan ibu dan bayi perlulah seiring dengan keperluan bagi memastikan keadaan kedua-duanya benar-benar terjaga serta terpelihara.

Suhafiza Johari, 35, dari Kampung Kok Klang, Arau telah menabur bakti selama lapan tahun dalam membantu menguruskan wanita selepas bersalin dengan menawarkan khidmat perbidanan yang lazimnya dipanggil sebagai confinement lady.

Wanita yang mesra disapa Kak Su ini berkata, dia terdorong menjalankan khidmat perbidanan berkenaan kerana melihat pengurusan wanita tidak hanya tertumpu kepada persediaan semasa mengandung, sebaliknya fasa pasca melahirkan anak juga penting.

“Skop perkhidmatan confinement lady ini adalah lebih kepada pengurusan ibu dalam tempoh berpantang serta bayi yang baru lahir.

“Kebahagiaan saya adalah apabila melihat ibu yang sedang berpantang berada dalam keadaan sihat, cantik dan ceria bersama bayi mereka,” katanya ketika ditemui di pusat operasinya di Bandar Baharu Putra Heights, di sini baru-baru ini.

Disebabkan minatnya itu, Kak Su menubuhkan syarikat Sri Anggun Confinement Lady yang bernaung di bawah syarikat Herba Anggun kelolaannya sendiri.

“Saya kini mempunyai dua confinement lady yang terlatih dan perkhidmatan ini sudah membawa saya ke seluruh pelosok tanah air dengan penerimaan tempahan sehingga ke Negeri Sembilan, Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Kedah selain di Perlis ini, daripada pelbagai kaum serta latar belakang,” katanya.

Antara perkhidmatan diberikan termasuk urutan ibu, urutan melancarkan susu ibu, bertungku, mandian herba, pemakaian bengkung, pemakaian pilis, tapel dan param, mandian bayi, urutan bayi dan pengurusan bayi, dengan pakej selama tiga hingga 44 hari.

Suhafiza menambah, pekerjaan sebagai confinement lady turut tidak dapat lari daripada pahit manis sewaktu melaksanakan tugas.

“Ada pelanggan yang begitu cerewet dalam pemilihan makanan, dan ada juga ibu yang tidak mahu langsung memegang anak serta mengharapkan hanya kita sahaja yang mengendalikannya.

“Namun, dalam kepahitan ada manisnya juga terutamanya apabila sesi yang kita jalani bersama ibu berpantang ini berjaya mengubah segalanya ke arah lebih positif, misalnya pelanggan sudah mula pandai menguruskan bayinya sendiri, sudah semakin cantik dan sihat, malah bayinya pun turut sihat dan ceria,” katanya.

Pada masa sama, Suhafiza tidak pernah melupakan sumbangan agensi seperti Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) yang banyak membantu dalam memajukan perkhidmatannya.

“Saya ingin merakamkan sejuta penghargaan kepada AIM Cawangan Perlis Utara kerana membantu perniagaan, malah AIM banyak memudahkan urusan dan memberi didikan serta galakan dalam menjalankan perniagaan yang saya ceburi ini,” katanya.

Orang ramai terutama ibu yang baharu lepas melahirkan zuriat dan memerlukan khidmat confinement lady boleh menghubungi Suhafiza di talian 012-4113642 untuk mengetahui dengan lebih lanjut khidmat yang ditawarkan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI