AKTOR tersohor, Shah Rukh Khan mendedahkan pernah diketawakan rakan-rakannya apabila menyatakan hasrat untuk terjun dalam dunia hiburan sebagai pelakon.
Kata Shah Rukh Khan, rakan-rakan artis terutama aktres terkenal Bollywood yang terlebih dahulu terjun dalam bidang seni juga tidak terkecuali memandang rendah keupayaannya untuk bergelar seorang bintang.
“Ketika awal pembabitan saya dalam dunia hiburan, ramai yang tidak percaya bahawa saya bakal menjadi seorang pelakon terkenal.
“Bahkan aktres yang menjadi heroin dalam filem saya juga memandang saya dengan jijik kerana saya masih baharu dalam bidang lakonan,” ujarnya.
Bagaimanapun, berkat usaha dan kerja kerasnya, pelakon berusia 56 tahun itu akhirnya menjadi seorang aktor paling berpengaruh dalam industri perfileman Bollywood, sekali gus membuatkan pelakon lain tertanya-tanya tentang rahsia kejayaannya.
“Mereka yang pernah menghina saya suatu ketika dahulu akhirnya terkejut apabila melihat kejayaan besar saya sebagai pelakon.
“Saya tidak mempunyai wajah yang tampan, namun saya bekerja keras untuk berjaya,” katanya.