fbpx

Rahsia Gigi terus relevan, janji kembali ‘Nakal’ di KL

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KUMPULAN GIGI

HAMPIR 30 tahun mempertahankan nama, kumpulan Gigi mengakui bukan sesuatu yang mudah untuk mereka kekal relevan dalam industri yang dibanjiri pendatang baharu.

Anggotanya, Thomas Ramdhan berkata, apa yang paling penting mereka sentiasa memastikan persembahan yang segar dan bertenaga setiap kali di atas pentas.

“Rahsia kami kekal bertahan salah satunya memastikan setiap persembahan bertenaga dan latihan itu penting. Kita tak mahu persembahan yang dibuat sama seperti rakaman. Kalau lihat setiap lagu yang kami bawa ketika persembahan dibuat susunan muzik yang berbeza.

“Oleh itu kami menjadikan latihan sebagai rutin walaupun sudah 29 tahun dalam industri. Selain itu juga perlu sentiasa ada persembahan supaya dekat dengan peminat,” ujarnya.

Selain itu, Thomas selaku pemain bass juga memberitahu setiap kumpulan yang mahu kekal berada dalam industri harus sentiasa muncul dengan karya-karya baharu.

SEDEKAD tidak berkunjung ke Malaysia, Gigi menjanjikan persembahan penuh energi pada 5 November depan.

Berkongsi tentang dua tahun berdepan pendemik Covid-19, Thomas mengakui terkejut pada awalnya, namun segera mengikut situasi semasa agar lebih kreatif.

“Pada awal 2020 memang terkejut dan sejujurnya tidak bersedia. Selepas sebulan, kami sudah lebih kreatif. Kami tetap ada aktiviti, buat rakaman di studio masing-masing dan persembahan secara online.

“Ketika itu tidak tahu bila pendemik akan berakhir, jadi kami hanya teruskan sahaja kerja-kerja seni seperti biasa,” ujarnya.

Sementara itu, Gigi yang bakal mengadakan konsert Gigi Nakal di Zepp Kuala Lumpur pada 5 November depan mengakui teruja untuk bertemu dengan peminat selepas hampir sedekad tidak berkunjung ke Malaysia.

Kumpulan yang turut dianggotai Armand Maulana selaku vokalis, Dewa Budjana (gitar) dan Gusti Hendy (dram) akan mempersembahkan lebih 20 rangkaian lagu daripada album pertama bermula 1994 sehingga terkini.

“Kami akan mendendangkan banyak lagu memandangkan Gigi sendiri mempunyai lebih 20 buah album. Jadi, kami akan membawakan lagu daripada album pertama hingga terakhir.

“Soal persiapan sebenarnya tidak banyak harus dilakukan kerana Gigi sibuk dengan pelbagai konsert dan festival sejak tiga bulan ini.

UNTUK kekal relevan kata Gigi, penyanyi perlu sentiasa aktif mengeluarkan karya baharu buat peminat.

“Kami anggap persembahan di Indonesia sebagai pemanas badan, sebelum menghiburkan peminat di Kuala Lumpur.

“Bagaimanapun, kami akan menampilkan susunan muzik berbeza untuk persembahan di Kuala Lumpur,” katanya.

Sementara itu, Armand pula berjanji untuk memberikan persembahan bertenaga pada konsert tersebut bagi mengubati kerinduan peminat di Malaysia.

“Mungkin ada peminat yang selama ini hanya menonton Gigi dalam YouTube. Jadi ini masa untuk membalas kerinduan peminat dengan persembahan bertenaga.

“Energi yang akan dibawakan lebih besar daripada persembahan sebelum ini disebabkan sudah lama kami tidak muncul dalam konsert di Malaysia.

“Bukan hanya penonton tempatan, malah kami percaya ramai peminat warganegara Indonesia yang berada di Malaysia rindu dengan persembahan Gigi. Jadi, semangat kami memang luar biasa,” kata Armand.

Gigi mula memasuki pasaran Malaysia menerusi lagu Terbang yang menjadi siulan ramai pada 1999.

Harga tiket bagi menyaksikan konsert Gigi Nakal dijual antara RM200 sehingga RM5,000 dan boleh didapati melalui pautan www.yoloasia.com.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI