JONESBOROUGH, TENNESSEE – Seorang penerjun udara profesional terbunuh selepas terhempas pada ketinggian 304 meter semasa perlawanan bola sepak di sebuah sekolah tinggi dalam negeri Tennessee, Amerika Syarikat, lapor akhbar The Sun semalam.
Richard Sheffield, 55, mengambil bahagian dalam aksi lagak ngeri profesional sebelum perlawanan bermula, Jumaat lalu.
Penerjun udara berpengalaman itu membuat persembahan bersama anggota-anggota pasukan payung terjun dikenali sebagai Jump TN di Sekolah Tinggi David Crockett, bandar Jonesborough.
Penonton bagaimanapun cemas apabila menyaksikan Sheffield menjunam sebelum terhempas di atas padang.
Rakaman diperoleh stesen televisyen tempatan, WJHL-TV menunjukkan bapa dua anak itu berputar di ruang udara sambil diiringi jeritan penonton sebelum terhempas.
Lelaki berusia 55 tahun itu dikejarkan ke hospital sebelum disahkan meninggal dunia tidak lama kemudian.
Penonton di stadium tersebut bertafakur seketika sebelum perlawanan yang sebelum itu ditangguhkan, disambung semula.
“Mendiang merupakan ahli terjunan udara dengan pengalaman selama beberapa dekad dan yang dihormati dalam komuniti penerjun udara,” kata Jump TN. – Agensi