GEORGE TOWN – Perbezaan budaya, bangsa dan agama tidak menjadi halangan kasih sayang antara Nur Adelia Raisya Mohd. Hafeez, tujuh bulan dan pengasuhnya yang berbangsa India, A. Thiwali, 61.
Kisah mereka yang dimuat naik ibu bayi tersebut, Nur Syahirah Khalid, 28, di TikTok baru-baru ini mendapat maklum balas positif orang ramai yang menyifatkan kasih sayang yang amat unik merentasi halangan kaum.
Menurut Nur Syahirah, tiada yang lebih menggembirakan hatinya apabila melihat tautan kasih sayang yang erat antara anak bongsu daripada empat beradik itu bersama Thiwali.
Ceritanya, dia pada mulanya berdepan kesukaran untuk mencari pengasuh bayi itu memandangkan tugas sebagai jururawat di Hospital Pulau Pinang (HPP) yang tidak menentu masa.
“Saya bekerja tiga syif, jadi memang sangat sukar untuk mencari pengasuh yang boleh menjaga anak saya. Suami saya pula bekerja di Manjong, Perak, manakala tiga lagi anak kami berusia dua hingga enam tahun dijaga bapa mereka di sana.
“Bayi saya pula berdepan masalah suka menangis pada waktu malam. Pada mulanya dia dijaga ibu saya di Kelantan, namun kerana ibu saya kurang sihat, saya memutuskan untuk membawa Nur Adelia ke Pulau Pinang bersama saya,” katanya di sini baru-baru ini.
Katanya, lebih sebulan dia mencari pengasuh untuk menjaga Nur Adelia, namun ramai yang menolak disebabkan dia bekerja mengikut syif.
“Akhirnya, teman serumah saya yang berbangsa India mencadangkan agar saya bertanya jiran sebelah rumah kami sekiranya dia boleh menjaga anak saya.
“Saya pun memberanikan diri bertanya aunty (mak cik) Thiwali dan tidak sangka dengan segera dia bersetuju menjaga Nur Adelia tanpa meletakkan sebarang syarat atau harga,” katanya yang yang tinggal di Jalan Batu Gantung, Ayer Itam di sini.
Ujarnya lagi, Nur Adelia mula dijaga Thiwali sejak Julai lalu dan dia terharu apabila anaknya itu tidak lagi menghadapi masalah menangis pada waktu malam seperti yang dialami sebelum ini.
“Aunty Thiwali atau lebih mesra dipanggil Pathi menjaga anak saya seperti cucunya sendiri. Empat orang anak Patti juga sangat sayangkan Adelia, malah mereka memberi nama timangan Liya kepada anak saya.
“Pathi juga meminta izin untuk membawa Liya pulang ke kampung di Sungai Petani bagi bersama-sama menyambut perayaan Deepavali ini.
“Saya sangat bersyukur kerana bertemu pengasuh yang bertanggungjawab serta menyayangi anak saya seperti cucu sendiri dan saya berharap kasih sayang mereka berkekalan,” tambahnya.