PUTRAJAYA – Penyanyi Noryn Aziz mengakui terpaksa mengikut trend dengan memiliki beberapa akaun media sosial termasuk TikTok untuk lebih dekat dengan peminat.
Selepas hampir setahun lebih menggunakan TikTok, Noryn yang juga penyanyi jazz dan guru vokal itu mendedahkan pengalaman diajar netizen dalam aplikasi tersebut antara yang tidak boleh dilupakannya.
“Seronok ada TikTok sebab hubungan dengan peminat lebih dekat. Namun, saya masih baharu dan memuat naik kandungan mengikut keselesaan saya sahaja.
“Antaranya saya ada berkongsi tentang kelas vokal, tetapi apa yang mengejutkan netizen lagi hebat, mereka ajar saya balik (ketawa).
“Netizen nampaknya lebih tahu dan ada antara mereka pun memang seorang guru vokal. Mereka banyak kongsi tip untuk menyanyi dengan lebih baik.
“Saya tidaklah marah sebaliknya layan sahaja. Ada juga yang ketawakan saya dan bermacam komen yang bukan-bukan. Saya tidak kisah kerana itulah dunia digital orang boleh cakap apa sahaja,” ujar Noryn.
Sambung Noryn, 45, sebagai penyanyi dia tidak boleh menolak daripada mengikuti trend semasa jika mahu kekal relevan dalam industri muzik.
“Walaupun kita penyanyi senior, jangan takut dan sombong untuk mengikuti trend anak muda. Mula-mula memang rasa kekok, lama-kelamaan apabila sudah faham penggunaannya mula rasa seronok,” kata Noryn.
Dalam pada itu, Noryn yang ditemui pada Konsert The Cloth anjuran Persatuan Veteran RTM pada Sabtu lalu mendedahkan, dia bakal muncul dengan single terbaharu berjudul Kau Satunya pada November ini.
“Lagu Kau Satunya amat berbeza dengan lagu-lagu saya sebelum ini. Saya suntik elemen pop dan lebih mesra dengan pendengar tempatan.
“Saya sedar sebelum ini lagu-lagu terlalu berat elemen jazz dan hanya segelintir orang yang boleh menerimanya.
“Impian saya mahu memiliki sekurang-kurangnya sebuah lagu Melayu yang boleh dinyanyikan bersama dengan peminat,” tutur Noryn. – KOSMO! ONLINE