fbpx

Lapan remaja didakwa rogol gadis 14 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Enam remaja dibawa ke Mahkamah Majistret Bachok hari ini untuk menghadapi pertuduhan merogol gadis berusia 14 tahun. - Foto ROSALWANI CHE SOH

BACHOK – Enam remaja lelaki didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas 15 pertuduhan merogol seorang gadis berusia 14 tahun di Tawang di sini pada Ogos hingga September lalu.

Kesemua tertuduh yang berusia 15 tahun mengaku bersalah semasa pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret Mohd. Fauzan Mohd Suhairi.

Setiap tertuduh didakwa dua hingga tiga pertuduhan.

Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh didakwa merogol remaja berusia 14 tahun di sebuah kedai makan di Jelawat di sini kira-kira pukul 12.30 tengah malam sehingga 2.30 pagi pada pertengahan Ogos sehingga September lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Hakimie Ab Hadi dan kesemua tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Norizaidah Abdul Salam.

Terdahulu, Mohd. Hakimie tidak menawarkan jaminan kepada kesemua tertuduh.

Norizaidah dalam rayuannya memohon jaminan diberikan kerana kesemua tertuduh masih bersekolah dengan kebanyakan mereka terdiri daripada keluarga susah.

Mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM2,000 untuk setiap pertuduhan dan menetapkan 13 Disember depan untuk sebutan semula kes.

Sementara itu, di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, dua lagi tertuduh didakwa atas tiga pertuduhan merogol mangsa, tarikh dan lokasi yang sama.

Dua remaja berusia 18 tahun dibawa ke Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini untuk menghadapi pertuduhan merogol gadis berusia 14. – Foto ROSALWANI CHE SOH

Kedua-dua tertuduh berusia 18 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd. Zul Zakiqudin Zulkifli.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Abu Arsalnaa Zainal Abidin, manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Abu Arsalnaa tidak menawarkan jaminan kepada tertuduh pertama kerana melakukan kesalahan serius.

Bagaimanapun, Abu Arsalnaa mencadangkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin selain tertuduh perlu melapor diri di balai polis sebulan sekali dan tidak mengganggu saksi pendakwaan.

Mahkamah tidak membenarkan tertuduh pertama diikat jamin manakala tertuduh kedua dibenarkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin dan perlu mengikut syarat tambahan yang dicadangkan oleh Timbalan Pendakwa Raya.

Mahkamah turut menetapkan 23 November depan untuk sebutan semula kes.

Kosmo! Online sebelum ini melaporkan, lapan orang remaja ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan berhubung kes rogol seorang gadis berusia 14 tahun di Tawang di sini baru-baru ini.

Perintah reman yang bermula Selasa lalu sehingga semalam itu dikeluarkan oleh Majistret Mohd. Fauzan Mohd. Suhairi di Mahkamah Majistret Bachok. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI