SEOUL – Korea Selatan dan Korea Utara berbalas tembakan amaran melibatkan senjata api serta roket artileri ketika ketegangan antara Seoul dan Pyongyang semakin memuncak, lapor akhbar The Sun.
Pertempuran terlebih dahulu tercetus di sempadan maritim yang menjadi pertikaian antara dua Korea itu awal semalam, menyebabkan Korea Utara melancarkan 10 roket artileri dari pantai barat negara itu.
Tentera Korea Selatan telah melepaskan tembakan amaran ke arah sebuah bot Korea Utara yang menyeberangi sempadan maritim itu pada pukul 3.05 pagi (waktu tempatan), kata agensi berita rasmi Korea Utara, (KCNA).
Sebagai tindak balas, Korea Utara membedil 10 roket sekitar pukul 5.15 pagi (waktu tempatan), kata jurucakap Staf Am Tentera Rakyat Korea Utara.
Ketua Staf Bersama Korea Selatan berkata, tembakan amaran itu dilepaskan supaya bot Korea Utara kembali ke wilayahnya selepas melintasi sempadan yang dinamakan Garisan Had Utara (NLL).
“Tentera Rakyat Korea Utara melepaskan 10 das tembakan roket sebagai amaran terhadap kapal tentera Korea Selatan supaya berpatah balik,” kata seorang jurucakap Pyongyang dalam satu kenyataan yang disiarkan KCNA.
Konfrontasi terbaharu berlaku ketika ketegangan di Semenanjung Korea semakin meruncing berhubung ujian peluru berpandu Korea Utara baru-baru ini.
Pada minggu lalu, Seoul mengerahkan sejumlah jet pejuang ke sempadan selepas mengesan kehadiran pesawat perang Korea Utara. Pemimpin tertinggi, Kim Jong-un kemudian bertindak balas dengan melancarkan peluru berpandu balistik.
Tentera Korea Selatan berkata, Jong-un juga membedil sebuah peluru berpandu balistik ke dalam laut dari Sunan yang terletak tidak jauh dari Pyongyang. – AFP